malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Deepak kata sakit, hakim minta laporan perubatan
ADS

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan ahli perniagaan karpet 'kontroversi' Deepak Jaikishian untuk menyerahkan laporan penuh perubatan berhubung penyakitnya, selepas beliau menunda testimoni yang dijadualkan hari ini.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng mengeluarkan perintah kepada peguam kanan Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang hadir dan memberitahu mahkamah Deepak tidak sihat dan mengemukakan sijil kesihatan daripada Hospital UKM di Cheras hari ini.

Shafee memberitahu mahkamah Deepak datang ke pejabatnya semalam untuk mengadakan perbincangan dan tiba-tiba beliau jatuh sakit dan muntah (darah) di bilik mesyuarat, tandas dan ruang tamu.

Berikutan kejadian itu, peguam tersebut menasihatkan Deepak mendapatkan bantuan perubatan.

Sijil kesihatan bertarikh semalam dikeluarkan untuk Deepak dan suatu salinan diserahkan ke mahkamah.  Bagaimanapun, pemeriksaan teliti mahkamah mendapati sijil tersebut tidak mengandungi nama doktor atau cop rasminya yang menunjukkan nombor pendaftaran doktor itu.

Susulan penangguhan kes hari ini, Hakim Hue menetapkan 27 Mac depan untuk Deepak hadir memberi keterangan. Turut hadir peguam Gopal Sri Ram bagi pihak A Santamil Selvi (gambar) dan peguam yang mewakili defendan dalam kes saman balu PI Bala ini.

Ini kali kedua keterangan Deepak ditunda kerana pada awal bulan ini, peguam Shafee memohon penangguhan kerana beliau terpaksa berada di Mahkamah Persekutuan mewakili Persatuan Peguam Muslim Malaysia yang dilantik sebagai pihak 'yang mencelah' kes Badan Peguam Malaysia mencabar perlantikan kontroversi Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Tun Zulkefli Ahmad Makinudin.

Santamil Selvi ialah balu penyiasat persendirian P Balasubramaniam dan tiga anaknya cuba untuk menolak pembelaan kedua Deepak yang difailkan Shafee.

Santamil Selvi dan anak-anaknya menfailkan saman tersebut Ogos tahun lalu atas kerugian dan kehilangan pendapatan berikutan keluarga itu melarikan diri ke India dari 2008 ke 2013.

Hal ini berlaku selepas Balasubramaniam membuat akuan bersumpah pada Julai 2008 mendakwa timbalan perdana menteri pada waktu itu Datuk Seri Najib Razak kenal gaid Mongolia Altantuya Shaariibu. Bagaimanapun, Bala menarik kembali akuan tersebut pada hari berikutnya.

Altantuya dibunuh sekitar bulan Oktober 2006.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen