malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Tidak ada pegawai khas TPM terima kontrak KDN'
ADS

PARLIMEN | Tidak ada pegawai khas kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima kontrak daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menegaskan perkara itu Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Nur Jazlan Mohamed berkata, mengikut rekodnya, individu yang menerima kontrak melibatkan kelulusan pekerja asing itu bukanlah pegawai khas kepada Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

"Kontrak ini telah diluluskan kepada tiga syarikat bukan satu syarikat sahaja, dan prosesnya diikuti oleh bahagian perolehan KDN.

"Kedua, sejak bila dia jadi pegawai khas menteri, saya juga tidak tahu sebab dalam rekod kita tidak ada rekod dia sebagai pegawai khas menteri.

"Mungkin dia jadi salah seorang pegawai lain dalam KDN tetapi dia bukan pegawai khas menteri. Jadi kalau buat satu tuduhan bahawa kontrak diluluskan tidak ikut proses, maka itu salah. kedua orang yang disebut itu bukan pegawai khas menteri,' tegasnya.

Nur Jazlan berkata demikian menjawab soalan Steven Sim (DAP-Bukit Mertajam) yang membangkitkan mengapa pegawai khas kepada Zahid mendapat projek daripada KDN.

Terdahulu Sim mempersoalkan, bagaimana syarikat Bukit Megah Sdn Bhd yang dikaitkan dengan individu yang didakwa menjadi pegawai khas kepada Zahid boleh diberikan kontrak swasta untuk memproses kelulusan pekerja asing.

"Bukan sahaja daripada satu negara sumber tetapi lima belas negara sumber. Orang dia yang memberi kelulusan, menteri dia yang beri kelulusan, orang dia juga yang memperoleh keuntungan daripada kelulusan tersebut.

"Jadi kita nak tahu sama ada wujud percanggahan kepentingan. Adakah syarikat ini dapat kontrak konsesi Imigresen melalui tender terbuka?" soal Sim di Dewan Rakyat hari ini.

Sim mendakwa rekod terakhir pegawai khas ini berkhidmat dengan Zahid ialah pada Januari 2017.

Lihat Komen