malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
DAP tuntut Pandikar sekat laporan sempadan SPR
ADS

PARLIMEN l Wakil rakyat DAP hari ini menggesa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyekat laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (penyusunan) mengenai persempadanan semula daripada dibentangkan di parlimen.

Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) berkata langkah itu perlu diambil selepas kerajaan Pulau Pinang memfailkan usul bagi mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan pada 17 Mac lalu dengan lapan soalan perundangan untuk pertimbangan mahkamah tertinggi negara ini selain menjadi subjudis.

"Terdapat kes mahkamah yang belum selesai. Ia akan memudaratkan jika speaker membenarkan laporan itu dibentangkan untuk kelulusan," katanya dalam sidang media hari ini.

Kerajaan Pulau Pinang pada Jumaat memfailkan usul bagi mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

Peguam kerajaan Pulau Pinang, Leong Cheok Keng berkata parlimen tidak patut membincangkan laporan persempadanan semula itu kerana ia belum diputuskan mahkamah lagi dan masih dalam pertimbangan kehakiman (subjudis).

SPR telah menghantar laporannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 9 Mac lalu, walaupun mereka masih belum habis mendengar rayuan terhadap siasatan tempatannya.

Kerajaan Selangor juga sebelum ini telah memfailkan kes mahkamah mengenai cadangan berkenaan namun tidak berjaya.

Sementara itu pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata SPR telah terburu-buru untuk menyiapkan laporan berkenaan untuk diserahkan kepada perdana menteri.

"Parlimen tidak boleh menjadi rubber stamp (untuk luluskan laporan). Parlimen perlu mengambil masa untuk mengkaji dan mengambil kedudukan," katanya pada sidang media yang sama.

Lim juga menyeru jawatankuasa pilihan parlimen dibentuk bagi mengkaji laporan tersebut.

"Jawatankuasa pilihan harus diberi sekurang-kurangnya empat minggu untuk melihat laporan itu," tambahnya.

Laporan persempadanan semula dijadualkan akan dibentang Khamis ini dan akan digunakan bagi pilihan raya umum ke-14 nanti.

Lihat Komen