Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz mengakui bahawa beliau belum layak serta sedia menjadi perdana menteri walaupun sering menjadi mangsa tohmahan kononnya, bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad menceburi semula politik kerana mahu berbuat demikian.
"Sebagai ahli politik, kita perlu terbuka untuk apa-apa kemungkinan tetapi jika seseorang datang kepada saya hari ini dan menawarkan jawatan perdana menteri, saya akan kata, 'maaf, saya tidak layak'.
"Saya hanya menteri besar selama dua setengah tahun, saya tidak boleh tiba-tiba menjadi perdana menteri.
"Minat saya sikit sahaja untuk jadi perdana menteri, saya tak boleh kata secara secara penuh (minat jadi perdana menteri),” katanya dalam satu wawancara ekslusif bersama Malaysiakini, minggu lalu.
Mukhriz juga melihat tugas seorang perdana menteri sebagai sangat berat untuk dipikul kerana setiap hari perlu membuat keputusan untuk lebih 30 juta rakyat.
"Saya tahu, saya adalah anak perdana menteri selama 22 tahun, tanggungjawab ini sangat besar. tiap-tiap hari kena buat keputusan untuk 30 juta orang,” katanya.
Mukhriz menyertai politik pada 2004 selepas beliau dicalonkan sebagai exco Pemuda Umno selepas bapanya melepaskan jawatan perdana menteri tahun sebelumnya.
Beliau memenangi kerusi parlimen Jerlun pada 2008 dan dilantik sebagai timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri (Miti), di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.
'Buang nama saya'
Pada PRU13, beliau bertanding di kerusi Ayer Hitam dan dilantik menjadi menteri besar Kedah.
Pada awal 2016, Mukhriz melepaskan jawatannya selepas dikatakan hilang sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN) akibat lantang membantah skandal 1MDB dan pentadbiran Najib.
Menceritakan detik-detik beliau mula berkecimpung dalam politik, Mukhriz mendedahkan bahawa Dr Mahathir sebenarnya tidak senang dengan pembabitannya dengan adik-adinya secara aktif dalam politik.
Malah, kata Mukriz, bapanya itu pernah menyingkirkan namanya selepas mendapat tahu terdapat rancangan untuk meletakkan nama anaknya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum 1999.
Menurut beliau, ketika itu Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob mahu mengisi namanya sebagai calon untuk kerusi parlimen ketika bapanya menjadi perdana menteri.
“Saya masih ingat Yang Dipertuan Negeri Melaka yang sekarang Tun Khalil mahu meletakkan saya sebagai calon Parlimen ketika bapa saya menjadi perdana menteri.
“Dia (Dr Khalil) kata bersiap sedia, saya akan letak nama kamu. Pada masa itu, dia adalah setiausaha agung Umno.
“Kemudian dia (Khalil) beritahu ayah saya, kemudian ayah saya mengeluarkan nama saya (dari senarai) apabila melihat nama saya. Dia kata ini siapa punya kerja, apa pandai-pandai.
“Dia (Dr Mahathir) boleh membiarkan saya bertanding tapi dia tak mahu kerana dia berpegang pada prinsipnya,” katanya.
Justeru, kata Mukhriz, adalah tidak masuk akal apabila pengkritiknya terus mendakwa Dr Mahathir kembali menyertai politik hanya untuk memastikandirinya menjadi perdana menteri.
“Baginya, untuk lakukan semua itu perlu menentang (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak, tinggalkan Umno, tubuhkan parti baru, sertai Pakatan Harapan, baiki semua hubungan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah (Wan Ismail), (lim) Kit Siang, Mohamad Sabu – semua itu untuk menjadikan saya perdana menteri.
“Saya fikir itu tidak masuk akal,” katanya.

