malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Liew Chin Tong calon HARAPAN di Ayer Hitam
ADS

Seperti dijangka, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong akan bertanding di kerusi Parlimen Ayer Hitam untuk berdepan Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong.

Sambil menjulang tangan Liew, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengumumkan perkara itu di pusat pilihan raya Pakatan Harapan Ayer Hitam sempena sambutan ulang tahun ke-52 DAP.

Ayer Hitam merupakan kubu MCA di Johor dan DAP dilaporkan menganggapnya sebagai kunci kemaraan HARAPAN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pada PRU 2013, Wee yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri menewaskan calon PAS Hu Pang Chaw dengan majoriti 7,310 undi.

Dalam ucapannya, Lim berkata DAP telah membuat keputusan sukar untuk meletakkan calonnya yang paling kuat bagi berdepan dengan Wee.

"Hari ini bagi pihak DAP, kami mengumumkan calon pertama untuk PRU ke14: Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong yang akan bertanding di Ayer Hitam," katanya di hadapan kira-kira 1000 penyokong HARAPAN yang hadir.

Antara pemimpin yang hadir adalah Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi HARAPAN Johor Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi DAP Tan Kok Wai, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Liew ketika ditemui pemberita mengakui ia merupakan cabaran yang sukar tetapi bertegas HARAPAN tetap mempunyai peluang di situ.

"Pastinya ia akan menjadi sangat sukar. Saya merasakan HARAPAN ada peluang untuk menang di sepuluh lagi kerusi di Johor jika kita menang di sini, kerana sepuluh kerusi itu adalah kerusi marjinal," katanya.

Ketika ditanya siapakah yang akan bertanding di Parlimen Kluang untuk menggantikannya, beliau berkata pengumuman akan dibuat apabila tiba masanya.

Beliau juga yakin pengundi di Kluang akan terus menyokongnya.

"Saya akan tetap tinggal di Kluang, ia hanya mengambil masa 20 minit untuk memandu ke sini. Saya yakin mereka yang ingin melihat perubahan di Malaysia ingin melihat usaha memenangi Ayer Hitam," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen