malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Azmin nak bawa menteri, KSU tengok empangan
ADS

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali mengundang Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili dan Ketua Setiausaha Kementerian Zaini Ujang untuk melawat mana-mana empangan di negeri itu dan melihat sendiri jumlah simpanan air.

Azmin juga mencabar Zaini bertanding melawan beliau dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) ini.

Azmin berkata demikian sebagai menolak kenyataan kementerian yang mengatakan empangan Selangor merekodkan kosong peratus dalam simpanan air dan menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air.

"Saya nak bawa menteri, saya nak bawa KSU, mari tengok empangan di Selangor. Kosong atau tidak?

"Lepas dah bawak tengok kita campak semua dalam empangan. Melampau!" kata Azmin bersemangat.

Beliau bercakap pada majlis Karnival Himpunan Rakyat yang diadakan di Stadium Shah Alam hari ini bagi menyambut ulang tahun ke 10 kerajaan negeri pimpinan HARAPAN.

Berita palsu, dakwaan bersifat politik

Menurut Azmin, kebanyakan sembilan empangan di Selangor merekodkan tahap air melebihi tahap 100 peratus.

Azmin berkata simpanan air semasa negeri itu direkodkan sebanyak 3.8 peratus dan dijangka meningkat ke 11 peratus menjelang tahun hadapan.

Beliau turut menyifatkan dakwaan simpanan air Selangor di tahap sifar yang berulang kali disebut Zaini itu sebagai berita palsu dan bersifat politik.

"KETTHA kata reserve kita kosong.

"Kalau nak jadi orang politik, PRU akan datang mari bertanding dengan saya di Gombak, Bukit Antarabangsa atau mana-mana kawasan.

"Saya nak tengok orang Selangor nak hukum saya atau nak hukum orang kementerian," kata beliau lagi.

Dalam ucapan beliau, Azmin juga menyifatkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung isu air Selangor sebagai berita palsu bertujuan menjejaskan reputasi negeri itu.

Najib di Dewan Rakyat minggu lalu berkata gangguan bekalan air yang melibatkan kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur lebih teruk lagi daripada 1MDB.

Dalam ucapan di Hulu Selangor baru-baru ini, Najib berkata isu air dapat menjadi salah satu sebab BN boleh menawan negeri itu pada PRU14 nanti.

[Baca berita asal]

 

Lihat Komen