malaysiakini logo
story-image
ADS

PULASAN | Bayangkan suatu petang, Ben Bradlee dan Ben Bagdikian menerima berita yang ditaip dengan mesin taip jenama Royal atau Olivetti daripada wartawan The Washington Post.

Ia suatu berita yang penting. Berita mengenai status sebenar buah dada Kak Lina Pom Pom yang dikhabarkan sebagai wujud akibat pembedahan plastik di sebuah hospital di Los Angeles.

Memang ia adalah khayalan rambang dan nakal saja.

Hakikatnya, Bradlee, Bagdikian dan anggota sidang pengarang The Post puluhan tahun silam berdepan dengan cabaran besar.

Ia bukan sekadar ego seorang wartawan dan masa depan sebuah penerbitan akhbar. The Post berdepan dengan kekangan kuasa yang bersemayam di sebuah bangunan bernama Rumah Putih.

Maka Fritz Beebe difilemkan ketika dia mengungkapkan kata-kata: "Jika kerajaan menang, kewujudan The Washington Post akan terhenti".

Itulah, jika tidak lenyap pun The Post - untuk suatu tempoh - akan kekal dengan laporan mengenai hal-hal berkaitan perkahwinan anak orang kenamaan bagi mengisi muka depannya.

Tapi itu The Post yang sedang bersaing dengan The New York Times. Persaingan itu begitu sengit sehingga pelbagai usaha dilakukan untuk satu akhbar mengatasi akhbar lain.

Kekang berita palsu?

Kita bukanlah Amerika Syarikat. Justeru kita lebih selesa bercakap tentang saiz buah dada Kak Lina Pom Pom atau meneka-neka jantina selebriti kerana ia adalah penentu masa depan negara.

Filem The Post garapan Steven Spielberg itu hadir di negara ini ketika kerajaan sedang berkira-kira untuk menggubal akta bagi mengekang berita palsu.

Seriuskan penularan berita palsu? Sudah tentu!

Berita palsu wujud sejak zaman Nabi Adam wujud. Walaupun wadah dan kaedahnya berbeza, selepas melalui pelbagai proses evolusi, berita palsu bertujuan untuk mengelirukan. Atau dalam bahasa mudah - untuk memperdaya.

Bahawa si pencipta perkhabaran palsu itu bersalah bukan alasan untuk menidakkan kebebalan orang lain yang menyebarkannya. Pedulilah sama ada si penyebar itu cukup bijak untuk mengetahui bahawa ia adalah khabar palsu atau tidak.

Berita palsu boleh membawa porak-peranda. Ia juga berpotensi mengancam keselamatan kerajaan dan negara.

Cuma, isunya ialah, kerajaan yang macam mana?

Orang maksum di Putrajaya

Di negara ini antara perkhabaran yang disahkan tidak palsu ialah laporan yang diberikan Anugerah Kajai. Ia adalah penghargaan tertinggi yang dapat diberikan - setakat ini - kepada mana-mana wartawan yang berjaya membuat pembongkaran besar.

Laporan itu mestilah berkaitan dengan kepentingan awam dan negara, serta mendapat reaksi daripada kerajaan sehingga berlaku perubahan dasar bagi mengatasi masalah yang diberitakan.

Cuma jika anda perhatikan setakat ini rasanya belum ada laporan yang menyentuh pemimpin utama negara secara langsung. Apa yang ada cuma berkaitan jabatan-jabatan kerajaan saja.


Baca Daulah Walang


Maksudnya, Anugerah Kajai ialah sebuah laporan berita yang benar tetapi hanya melibatkan orang di peringkat bawahan. Jabatan Imigresen, misalnya. Atau jabatan yang menguruskan hal ehwal pelajar, pihak berkuasa tempatan dan seumpamanya.

Selain itu orang yang bercokol di Putrajaya secara umumnya adalah maksum. Itu mesej yang tersirat daripada apa yang sedang berlaku sejak bertahun-tahun lalu.

Dan dari sisi lain, gerakan melawan berita palsu ini sebenarnya apa?

Filem The Post diakhiri dengan adegan seorang pengawal keselamatan membuat laporan kepada polis mengenai insiden pencerobohan di bangunan Watergate.

Jika anda menonton filem All The President's Men, filem itu bermula dengan adegan itulah. Ia sebuah filem terbitan 1976.

Dilakonkan dengan baik oleh Robert Redford dan Dustin Hoffman, ia berkisah tentang bagaimana dua wartawan mencari cerita di sebalik ungkapan "follow the money" yang disebut Deep Throat.

Ia kemudian dikenali sebagai skandal Watergate.

Di negara ini langkah follow the money bukan sesuatu yang mudah. Silap langkah nasib seseorang mungkin berakhir di dalam longkang atau keras dalam bancuhan simen.

Tapi itulah di negara ini juga kemelut air di Selangor jauh lebih kritikal daripada segala gate yang ada.

Justeru kita memang sangat memerlukan akta bagi mengekang penularan berita palsu.

Bagi yang sudah menonton The Post, anda mungkin boleh membayangkan bagaimana seorang wartawan kadet bertanya kepada Bradlee: "Is that legal?"

Dan kita membayangkan pengarang di negara ini menjawab dengan lidah yang fasih dan lancar: "Apa yang kau fikir sedang kita lakukan di sini untuk hidup, ha?"


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini. 

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen