malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MCA: Pengundi tersinggung kenyataan 'calon kucing' Rafizi
Diterbitkan:  Mar 16, 2018 5:01 PM
Dikemaskini: 9:24 AM
ADS

Kenyataan Rafizi Ramli bahawa 'kucing pun boleh menang' jika PKR bertanding di Pandan disifatkan MCA sebagai menghina kebijaksanaan pengundi.

"Kami sebagai pengundi Pandan dan penduduk Pandan rasa marah dan kecewa kerana ulasan ini telah menghina kebijaksanaan rakyat Pandan dan menyinggung perasaan penduduk dan pengundi.

"Kami ada kebijaksanaan sendiri, sesiapa yang ada kerja di kawasan ini, kami akan mengundi bukan seperti Rafizi kata 'kucing pun boleh menang'.

"Ini adalah satu ulasan yang sombong dan meremehkan kebijaksanaan wakil Pandan," kata Ketua MCA bahagian Pandan, Leong Kok Wee dalam sidang media hari ini.

Pada sidang media itu, anggota MCA turut membawa plakad, antara lain berbunyi "rakyat Pandan akan undi calon yang berkhidmat, bukan kucing PKR".

Bagaimanapun, Rafizi menafikan beliau mengeluarkan kenyataan yang menghina pengundi di kawasan itu.

"Bukan. Itu bukan hina penduduk Pandan. Saya sebenarnya hina MCA. Itu tunjukkan MCA sangat lemah dan kita tiada masalah untuk menang di kerusi itu," katanya kepada Malaysiakini.

Rafizi yang kini merupakan anggota parlimen Pandan sebelum ini mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum akan datang.

Naib presiden PKR itu berdepan hukuman penjara 30 bulan selepas disabitkan bersalah di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Pada PRU lepas, Rafizi memenangi kerusi itu dengan majoriti 26,729 undi.

Sementara itu, Leong juga mendakwa pengundi di Pandan kecewa dengan khidmat Rafizi.

Antara lain, beliau mendakwa pemimpin PKR itu gagal membantu penduduk Pandan berhubung pembinaan kilang haram dan pembinaan pasar basah baru di parlimen itu.

"Kita menerima aduan terhadap beliau, ramai penduduk Pandan menyatakan sukar nak bertemu dengan wakil rakyat, ahli parliamen Pandan. Pengundi di kawasan ini amat kecewa kepada prestasi PKR.

"Saya ingin beritahu YB Rafizi, jangan underestimate ataupun menghina kebijaksanaan orang Pandan kerana kami bukan machine mengundi untuk PKR. Kami ada hak sendiri untuk memilih atau mengundi sesiapa yang berkhidmat kepada kita," katanya.

 

Lihat Komen