malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M: Undi saya mungkin macam undi Anwar
Diterbitkan:  Mar 16, 2018 1:05 PM
Dikemaskini: 5:14 AM
ADS

Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah dua tokoh yang sering dikaitkan dalam politik negara, dan kaitan itu seringkali berubah.

Bermula dengan hubungan mentor dan protege pada era 1980-an, Mahathir dan Anwar menjadi musuh ketat bermula 1998 dan kini bersama-sama dalam barisan pembangkang untuk menentang BN.

Dalam temu bual dengan ABC Australia, Mahathir ditanya pengacara sama ada undian terhadapnya sama dengan undian terhadap Anwar, nama yang sekian lama diangkat sebagai calon perdana menteri pembangkang.

"Pada sisi tertentu ya kerana saya sudah berjanji yang saya tidak akan lama menjadi perdana menteri, sehingga beliau diampunkan.

"Beliau perlu mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebelum dapat menyertai politik semula," katanya dan menambah proses itu akan mengambil masa dua atau tiga tahun.

"Saya tidak fikir mahu kekal (sebagai perdana menteri) untuk tempoh yang lebih lama kerana usia saya. Saya tidak rasa dapat bertahan terlalu lama atau satu penggal penuh," katanya yang akan mencecah usia 93 tahun Julai ini.

Anwar kini menjalani hukuman lima tahun penjara atas kesalahan liwat dan dijangka dibebaskan Jun ini.

Beliau konsisten mengatakan dakwaan tersebut bermotif politik, sama seperti tuduhan pertama ketika pentadbiran Mahathir.

Dalam wawancara itu, bekas perdana menteri itu juga ditanya tentang tanggapan beliau bersikap hipokrit - dulu merasakan Anwar tidak sesuai menjadi perdana menteri tetapi kini bekerjasama dengannya dan sekutu pembangkang yang lain.

Mahathir berkata ketika itu beliau merasakan tindakannya adalah wajar.

"Jika dibandingkan dengan apa yang berlaku sekara, saya fikir apa yang saya buat dulu agak kasar, tapi keadaan (ketika) itu benar-benar berbeza dan saya rasa amat penting untuk tidak melihat peristiwa lalu," katanya lagi.

Mahathir bertegas yang beliau dan Anwar mempunyai matlamat yang sama iaitu menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Dalam satu temu bual berbeza minggu lalu, beliau berkata jika masa dapat diundurkan, beliau tidak akan memecat Anwar.
 

Lihat Komen