malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Tsunami Melayu kepada PAS, bukan BERSATU'
ADS

WAWANCARA | Kemungkinan berlakunya "tsunami Melayu" menyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) banyak kali diutarakan gabungan pembangkang itu, terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Mereka yakin pengundi Melayu akan memilih mereka berbanding BN antaranya kerana isu rasuah dan peningkatan kos sara hidup.

Namun Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin percaya partinya yang sebenarnya akan mendapat manfaat daripada gelombang itu dan bukannya BERSATU.

Abdullah (gambar) mengakui wujudnya keinginan untuk perubahan di kalangan orang Melayu tetapi mendakwa BERSATU bukanlah pilihan pertama mereka ekoran hubungan parti itu dengan DAP - yang sentiasa dituduh anti-Islam.

"Kebanyakan orang Melayu kuat pegangan agama, mereka tak suka (parti yang) bergabung dengan DAP. Mereka tidak akan sokong (BERSATU)," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini di Kuala Lumpur.

Beliau mendakwa perkara ini terjadi kepada PAS apabila ramai orang Melayu tidak mengundi parti itu kerana berkerjasama dengan DAP.

"Tetapi sekarang PAS sudah berpecah dengan DAP, mereka kata tiada masalah untuk undi PAS," katanya.

Malah, katanya lagi, orang Melayu melihat bagaimana PAS sentiasa konsisten dalam soal agama dan kebajikan.

"28 tahun PAS memerintah Kelantan tapi tiada seorang pun menteri besar, exco atau wakil rakyat yang didakwa atas tuduhan rasuah. 28 tahun ini rekod yang baik," katanya lagi.

Bagaimanapun beliau merasakan "tsunami Melayu" itu, kalaupun berlaku, tidak akan melanda seluruh Johor yang mempunyai demografi yang lebih pelbagai berbanding kubu kuat parti itu, iaitu pantai timur.

Abdullah juga berkata sasaran PAS Johor adalah menang di 12 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tujuh daripada 26 kerusi Parlimen.

Pada pilihan raya umum (PRU) lalu, PAS Johor menang empat kerusi DUN namun gagal menang di peringkat parlimen.

Parti itu kini hanya memegang tiga kerusi DUN selepas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Yaani Aminolhuda Hassan (gambar) keluar parti untuk menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH). Bekas pesuruhjaya PAS Johor itu kini mengetuai AMANAH negeri itu.

AMANAH yang ditubuhkan di negeri itu mendakwa ia telah melumpuhkan PAS dengan menyerap separuh daripada aset dan jentera parti di sana. Parti itu meramalkan PAS akan tewas di semua kerusi di Johor pada PRU ke-14.

Namun Abdullah memiliki pandangan berbeza. Beliau berkata hanya 15 peratus ahli yang menyeberang ke AMANAH dan ia sudah pun digantikan dengan ahli baru.

"Cuma 'orang kuat' sahaja yang keluar - Aminolhuda, Mazlan Aliman, Salahuddin Ayub dan Dzulkefly Ahmad. Ahli masih ada. Dahan saja keluar, bukan akar," katanya.

PAS dan undi Cina

Abdullah juga mengaku yang PAS dibantu sokongan pengundi Cina yang besar pada PRU lalu.

Misalnya di kerusi Abdullah sendiri iaitu DUN Puteri Wangsa. Beliau menang di kerusi majoriti Cina itu dengan majoriti 3,469 undi pada PRU lalu.

Ditanya berkenaan kemungkinan PAS ditolak pengundi Cina kerana tidak lagi bersama HARAPAN, Abdullah berkata ia tidak semestinya begitu.

"Persepsi orang Cina tidak sokong PAS masih belum diuji.

"Dulu kita kurang mendapat undi Melayu, sekarang mungkin ia akan bertambah. Undi Cina mungkin berkurant tetapi tidaklah sampai langsung tiada.

"Kami masih ada peluang," katanya.

Abdullah memimpin PAS negeri itu tahun lalu selepas kekosongan yang ditinggalkan mereka yang berhijrah kepada AMANAH. Sebelum itu beliau mengetuai Dewan Ulama PAS Negeri selama 20 tahun.

Beliau kekal optimis dengan peluang partinya di negeri itu.

Tetapi belum pasti sama ada "tsunami Melayu" yang diperkatakan itu akan membawa parti itu lebih jauh atau menghempasnya sehingga karam.

Lihat Komen