Pengiklanan

    Universiti P Ramlee mula beroperasi di Taman Ilmu Sept ini

    (Dikemaskini )

    Universiti P. Ramlee Kampus Terengganu yang bakal beroperasi di Taman Ilmu di Besut menyasarkan 500 hingga 1,000 penuntut bagi pengambilan pertama pada September depan.

    Rektornya Profesor Datuk Ir Dr Mohd Rizon Johari berkata pengambilan pelajar untuk kampus pertama di luar Kuala Lumpur itu sedang giat dijalankan dengan keutamaan diberi kepada penuntut setempat yang mempunyai minat mendalam terhadap bidang seni dan warisan.

    "Kita akan usaha untuk cari mereka yang berminat terutamanya dari kampung-kampung, yang mana mereka mungkin berbakat tapi takut untuk ke menara gading. Universiti P Ramlee adalah tempat yang sesuai untuk mereka.

    "Pemilihan Besut sebagai kampus kedua kerana daerah ini adalah ibu segala seni budaya serta ia berada di sempadan Kelantan dan Terengganu. Kita ingin buka kampus di Kelantan tetapi terlampau banyak halangan, jadi saya rasa inilah tempat paling sesuai terutama untuk mengasah bakat dalam bidang kebudayaan seperti mak yong, wayang kulit di samping muzik moden yang lain," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Tapak Universiti P Ramlee di Taman Ilmu yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di sini hari ini.

    Universiti P. Ramlee atau dahulunya dikenali sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) telah dinaik taraf sebagai universiti awam penuh seliaan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pada 11 Okt tahun lalu.

    Mengulas lanjut, Mohd Rizon berkata Universiti P. Ramlee akan mempunyai tiga lagi cawangan dalam masa terdekat iaitu di Kuching di Sarawak, Kuala Kangsar di Perak dan Sabah.

    Beliau berkata pihaknya menjangka sebanyak RM50 juta diperlukan untuk membaik pulih sembilan blok yang bakal digunakan di Taman Ilmu.

    "Untuk nilai keseluruhan kampus yang tidak sampai RM100 juta sebenarnya adalah sangat murah daripada bina baharu. Untuk permohonan RM50 juta itu, kita akan meminta peruntukan daripada Kementerian Kewangan, cepat lulus cepatlah kita boleh mula.

    "Apabila bangunan sudah siap semuanya, jumlah penuntut mungkin akan menjangkau kepada 5,000 orang. Ketika ini, di kampus induk Kuala Lumpur, kita sudah ada 800 penuntut dan 200 kakitangan akademik," katanya.

    - Bernama

     

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih