malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bas amfibia Terengganu jadi bahan ketawa
Diterbitkan:  Mar 15, 2018 1:43 PM
Dikemaskini: 6:19 AM
ADS

Kerosakan bas amfibia atau Amphicoach ketika sedang dipandu uji di Sungai Terengganu menjadi bahan jenaka sekumpulan lelaki yang ketika itu sedang memancing di sungai berkenaan.

Dalam video yang dirakam dan menjadi tular itu, seorang lelaki dilihat mentertawakan bas berkenaan yang ketika itu terkandas dan sedang diselamatkan di Sungai Terengganu di Losong, Kuala Terengganu itu.

Sambil ketawa, lelaki itu kemudian mempertikaikan harga bas berkenaan yang bernilai RM3 juta.

"Bas RM3 juta, bawa turun dua kali, (sudah) jammed. Paghok (teruk)," kata lelaki itu yang dipercayai berada di atas sebuah bot.

Video tersebut turut dikongsi anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Riduan Mohamad Nor dan mendapat lebih 6,000 tontonan serta 71 perkongsian.

Lelaki yang merakamkan video itu kemudian meminta pandangan rakannya yang turut berada di atas bot sama berhubung situasi bas berkenaan.

"Saya rasa tidak berbaloi dengan nilai harga RM3 juta.

"Lebih baik perahu (bot) kita yang berharga RM300, boleh sampai ke laut, sungai Terengganu. Inilah kehebatan dia (bot), Terengganu molek doh (bagus dah)," kata rakannya sambil mereka ketawa melihat keadaan bas Amphicoach berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menafikan dakwaan mengenai bas berkenaan rosak selepas video yang memaparkan bas itu sedang dipandu uji viral di media sosial kelmarin.

Ahmad Razif sebaliknya berkata bas itu mengalami "kerosakan kecil" selepas beliau melakukan sendiri pandu uji ke atas bas berkenaan selama lebih 20 minit di Sungai Terengganu, pada Isnin.

"Saya sendiri yang minta dibuat simulasi untuk menguji bas itu jika berada dalam keadaan kritikal... dan semasa saya bawa bas itu hos penghembus pancutan airnya tercabut...

"Ssaya juga minta hos itu tidak dipasang semula dan dalam 10 minit dalam keadaan kritikal itu pasukan penyelamat berjaya mengawal keadaan.

"Mungkin ia terjadi sebab saya tiada pengalaman bawa bas sebelum ini jadi kita kena pastikan bas ini dipandu oleh orang yang betul-betul mahir,” kata Ahmad Razif.

Lihat Komen