malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM tubuh pasukan petugas khas pantau rasuah pada PRU14
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menubuhkan pasukan petugas khas yang turut dianggotai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia bagi memantau salah guna kuasa dan rasuah pada pilihan raya umum ke-14.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pasukan petugas khas itu akan bertindak memantau kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1954.

“Kita akan memantau isu yang ditimbulkan mana-mana pihak yang menyatakan isu rasuah dan salah guna kuasa berlaku yang boleh dikuatkuasakan di bawah akta itu,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah SPRM Sarawak melibatkan Razim Mohd Noor yang baru dilantik ke jawatan itu dan Timbalan Pengarah SPRM Sarawak Zulhairy Zaidel, di Kuching hari ini.

Mengulas perkembangan lain, Azam berkata SPRM akan memanggil beberapa lagi syarikat untuk membantu siasatan skandal penjualan tanah di mukim Ijok, Selangor.

"Ketika ini siasatan kita menumpukan kepada lima buah syarikat dan mungkin ada tambahan beberapa syarikat lagi akan dipanggil bagi membantu siasatan. SPRM sedang mengkaji dokumen-dokumen yang diambil berkaitan penjualan tanah berkenaan,” katanya.

Katanya SPRM juga memerlukan masa untuk menyiasat kes itu memandangkan pihaknya sedang menjalankan siasatan forensik ke atas beberapa akaun milik syarikat bagi mengesan transaksi yang mencurigakan.

“Bagi membantu siasatan tersebut, akauntan syarikat serta pengarah daripada lima buat syarikat terbabit memang dipanggil untuk memberi kenyataan namun setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat," katanya.

Sementara itu, Azam berkata siasatan terhadap dua individu yang ditahan kerana dipercayai menerima sejumlah wang bagi menutup kes projek mega terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi.

"Selepas selesai siasatan, kita akan serahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” kata Azam. -Bernama

Lihat Komen