malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
DAP: Bila nak namakan pemaju induk Bandar Malaysia?
ADS

DAP hari ini mendesak Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah menamakan syarikat pemaju yang bakal membangunkan Bandar Malaysia.

Anggota Parlimen Petaling Jaya Tony Pua berkata,  Irwan perlu meletakkan jawatan sekiranya gagal berbuat demikian.

Katanya, Syarikat Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) mengeluarkan tender pada Jun 2017 namun sehingga kini masih belum menamakan lapan syarikat antarabangsa yang dikatakan menunjukkan minat mereka terhadap projek berkenaan.

“Sejak Julai, Ogos dan November tahun lalu, Kementerian Kewangan hanya menjawab ada lapan syarikat antarabangsa berminat. Kita tanya siapa, mereka hanya kata 'coming soon..coming soon."

“Masalahnya projek ini sudah lama tertangguh, kita cuma risau nasib Bandar Malaysia akan sama dengan Tun Razak Exchange yang terpaksa diambil alih oleh Kementerian Kewangan dan akhirnya kita rakyat yang perlu membayarnya," katanya dalam sidang media di parlimen.

Projek Bandar Malaysia dibangunkan atas tanah seluas 197 hektar yang akan dimajukan di lapangan terbang lama Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Sungai Besi.

Syarikat yang berjaya akan memperoleh 60 peratus saham dalam projek itu, manakala baki 40 peratus kepentingan dimiliki kerajaan Malaysia melalui dana 1MDB.

Kerajaan sebelum ini berkata, projek yang dijangka mengambil masa 15 hingga 25 tahun itu akan membuka 220,000 peluang pekerjaan.

Pembangunan fasa pertama Bandar Malaysia yang sepatutnya dimulakan tahun ini dijangka mengambil masa lima hingga 10 tahun.

Ia merangkumi kira-kira 40 hektar membabitkan pembangunan 5,000 unit rumah mampu milik serta kemudahan sistem rel Transit Aliran Ringan (LRT) dan Mass Rapid Transit (MRT), di samping menempatkan stesen utama Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

 

Lihat Komen