malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M mengaku salah pecat Anwar
Diterbitkan:  Mar 12, 2018 10:08 PM
Dikemaskini: Mar 13, 2018 3:31 AM
ADS

Dalam satu lagi perkembangan baru berhubung pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencetuskan gerakan reformasi hampir 20 tahun lalu, Tun Dr Mahathir menceritakan satu lagi babak yang tidak diketahui ramai.

Kata Dr Mahathir keputusannya mengambil tindakan ke atas anak didiknya itu adalah sesuatu yang salah.

Beliau menegaskan pendirian untuk memecat Anwar adalah dibuat berdasarkan bukti yang ditunjukkan polis.

Bagaimanapun kata Dr Mahathir selepas itu beliau membuat pertimbangan sama ada wajar bertindak berdasarkan maklumat disalurkan polis, atau sebaliknya.

"(Ia) adalah keputusan yang salah untuk mengikut peraturan semata-mata, dan saya rasa tidak sepatutnya mengabil tindakan atas Anwar," katanya dalam temu bual disiarkan Sin Chew Daily hari ini.

Anwar adalah orang kepercayaan Dr Mahathir sejak beliau membawa bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia itu menyertai Umno pada 1982.

Bagaimanapun hubungan mereka menegang sebelum Dr Mahathir memecat Anwar pada 1998 yang menyaksikan populariti beliau merudum teruk.

Pada pilihan raya umum yang diadakan setahun kemudian, pembangkang berjaya menawan Terengganu dan mengekalkan Kelantan.

Kata Dr Mahathir dalam keadaan tertentu seseorang tidak mempunyai pilihan dan secara politik beliau tidak sepatutnya melakukan tindakan berkenaan kepada Anwar.

"Kita terpaksa membuat keputusan yang boleh menyebabkan orang benci saya," katanya.

Ekoran pemecatan Anwar Dr Mahathir berulang kali menafikan langkah itu bermotifkan politik sebaliknya kerana salah guna kuasa dan liwat.

Anwar kemudian dibicarakan dan didapati bersalah. Beliau dihukum penjara pada 1999 tetapi dibebaskan pada 2004 selepas sabitan kes liwatnya dibatalkan.

Namun sabitan bagi salah guna kuasa dikekalkan.

Pada Feb 2015 Anwar sekali lagi dipenjara atas tuduhan liwat yang lain. Seperti 1998, Anwar bertegas dakwaan itu bersifat politik.

Dalam temu bual disiarkan tadi Dr Mahathir juga menceritakan bagaimana pertemuan beliau yang pertama dengan Anwar selepas 18 tahun berseteru.

"Saya berjumpa Anwar, kami berjabat tangan, saya bercakap dengan dia.

"Pada awalnya Wan Azizah dan Nurul Izzah tidak begitu mesra, tapi selepas bapa mereka memberitahu supaya mereka patut melupakan sengketa lama untuk sementara waktu," katanya. 

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen