malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Terowong P Pinang: SPRM bekerjasama dengan perunding bebas
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang bekerjasama dengan perunding bebas bagi membuat penilaian berhubung kos kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya juga mendapatkan pandangan Jabatan Kerja Raya (JKR) memandangkan siasatan kes itu membabitkan banyak aspek teknikal.

“Siasatan kes ini masih berjalan dan kita sedang bekerjasama dengan beberapa perunding bebas selain perbincangan berterusan dengan perunding-perunding dari agensi kerajaan.

"Kita juga berbincang dengan perunding kerajaan negeri bagi mengumpul data dan perkara berkaitan kerana semua maklumat itu diperlukan ketika berurusan dengan perunding bebas yang dipilih," katanya tanpa mendedahkan tentang perunding bebas tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sempena perhimpunan bulanan kementerian itu di sini, hari ini. Majlis itu dihadiri menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Sebelum ini, Azam dilaporkan berkata SPRM dalam proses mendapatkan khidmat perunding bebas untuk membuat penilaian berhubung kos kajian kebolehlaksanaan bagi projek melibatkan tiga jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang yang dianggar bernilai RM6.3 bilion.

Projek itu disiasat SPRM kerana didakwa melibatkan kos kajian kebolehlaksanaan yang tinggi dan kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri, selain berlaku kelewatan pembinaan selama 22 bulan.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata pihaknya sedang berkomunikasi dengan Bukit Aman bagi mendapatkan maklumat berhubung siasatan polis terhadap Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Selain maklumat yang diperoleh secara terbuka melalui artikel yang ditulis di luar negara serta kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, SPRM juga perlu mendapatkan penerangan lebih jelas mengenai siasatan yang dijalankan polis berhubung wang sebanyak AUD$320,000 (RM972,000) yang didepositkan ke akaun bank di bawah nama Wan Ahmad Najmuddin di Australia.

"Kami perlukan lebih masa untuk menyiasat kes ini kerana selain maklumat daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), ia juga perlukan pengumpulan bukti dari beberapa pihak lain termasuk pihak berkuasa Australia," katanya.

SPRM baru-baru ini dilaporkan telah membuka kertas siasatan terhadap Wan Ahmad Najmuddin selepas menerima laporan daripada pemberi maklumat, yang turut mengemukakan bukti dalam kes berkenaan sehari sebelum itu.

Dalam pada itu, Azam berkata kes kehilangan dana kerajaan akibat tadbir urus dan salah laku integriti masih ditahap serius yang memerlukan perhatian khusus daripada kementerian, jabatan dan agensi di bawahnya.

Beliau berkata berdasarkan kes sebelum ini, SPRM pernah berhadapan dengan kes melibatkan sebuah kementerian yang kehilangan lebih 40 peratus daripada dana yang diperuntukkan kementerian akibat ketirisan dan isu integriti pihak-pihak yang berkenaan.

“Ini adalah sesuatu yang serius, malah kami juga hampir setiap hari menerima aduan berkaitan kehilangan dana kerajaan akibat berlakunya ketirisan dalam perolehan yang menuntut perhatian serius pihak yang berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berharap IBR yang ditandatangani kementerian mampu membantu membebaskan kementerian itu daripada kes berkaitan integriti seperti yang berlaku sebelum ini.

Beliau berkata dalam tempoh dua tahun lepas, kementerian itu diuji dengan isu-isu salah laku membabitkan pegawai atau agensi di bawahnya sehingga memberi kesan negatif dalam aspek keyakinan rakyat.

"Sebagai kementerian yang terlibat dengan projek pembangunan berkaitan masyarakat, kita tidak boleh dilihat tidak bersih dan aspek integriti dipersoal.

"Jadi, inisiatif menandatangani IBR ini adalah langkah tepat untuk memastikan isu berkaitan integriti tidak lagi berlaku di kementerian kerana jika sekali disiasat SPRM, usaha untuk memulihkan imej yang tercalar dan persepsi negatif masyarakat adalah amat sukar," katanya.

Ismail Sabri berharap kerjasama yang dijalin dengan SPRM dapat meningkatkan tahap integriti warga kementerian dalam usaha memastikan pelaksanaan 172 projek dengan peruntukan RM705 juta pada tahun ini dijayakan dengan sempurna. -Bernama

Lihat Komen