malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
BERSATU akur, akan kemuka dokumen pada ROS
Diterbitkan:  Mar 12, 2018 9:32 AM
Dikemaskini: 1:40 AM
ADS

Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) akan mengemukakan semua dokumen yang diperlukan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), kata presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita akan kemukakan semua yang diperlukan ROS dalam tempoh tak lama lagi dengan nasihat daripada peguam kita agar selari dengan undang-undang dan perlembagaan parti.

"Kita akur dan tunggu tempoh masa yang diberikan oleh ROS,” katanya selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk Kampung Sador Mentuan, Tawang petang semalam.

Terdahulu, ROS mengeluarkan notis kepada BERSATU supaya parti itu menyerahkan maklumat serta dokumen berkaitan, termasuk minit-minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat.

Arahan itu disifatkan sebagai berat sebelah oleh pimpinan utama BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini berikutan ROS mengesahkan memberi kelulusan kepada Umno untuk menangguhkan pemilihan majlis tertinggi parti itu hingga 2019, namun BERSATU menegaskan lanjutan seperti itu bertentangan dengan perlembagaan Umno.

Mengulas mengenai manifesto HARAPAN yang dikatakan hanya retorik oleh pihak tertentu Muhyiddin berkata, HARAPAN mempunyai pandangan dari pakar yang telah mengkaji sebelum kandungannya disenaraikan dalam Buku HARAPAN.

Beliau berkata, manifesto HARAPAN adalah realistik dan boleh dilaksanakan dalam tempoh 100 hari, setahun atau sepenggal.

“Tak kisahlah kalau mereka kata ia retorik atau kitar semula yang penting rakyat faham untuk kita membentuk kerajaan lebih baik daripada BN dan PAS.

"Kita tak janjikan bulan dan matahari tetapi ia pragmatik seperti GST yang mereka (BN) tak setuju mansuh.

“Walaupun bagi mereka untuk hapuskan GST tidak realistik tetapi kami tahu kami boleh lakukan kerana ia bukan hanya mengenai 6 peratus malah berganda kerana itu harga barangan melambung dan pelbagai bebanan lain dipikul rakyat,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengerusi HARAPAN Kelantan, Husam Musa.

Lihat Komen