malaysiakini logo
story-image
ADS

Syarikat Ideal Convention Center Sdn Bhd (IDCC) hari ini mendakwa wujud usaha untuk mensabotaj pusat konvensyen tersebut.

Penasihat dan Pengarah IDCC, Lee Aik Chong berkata usaha tersebut dibuat ekoran tindakan kerajaan negeri mengeluarkan memo kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk tidak mengadakan sebarang program di IDCC.

“Saya terkejut terhadap pendirian yang diambil oleh semua agensi kerajaan Selangor, anak syarikat kerajaan negeri dan kerajaan tempatan negeri Selangor.

“Pada pendapat saya tindakan dan keputusan yang telah diambil oleh Menteri Besar Selangor untuk menghalang semua agensi kerajaan supaya tidak berurusan dengan IDCC dan Kasmuncak Holding Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan penyewaan pusat konvensyen adalah satu perbuatan sabotaj,” katanya dalam sidang media di IDCC, Shah Alam, hari ini.

Malah, Lee berkata apa yang lebih mengecewakan pihaknya adalah makluman notis tersebut diterima melalui pesanan WhatsApp oleh pekerjanya sebelum diberikan kepada beliau.

Runsing dengan permasalahan yang berlaku, Lee segera menyiasat perkara tersebut dan mendapati ketetapan tersebut telah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.

Malah, apa yang lebih memeranjatkan beliau adalah tindakan tersebut dibuat kerajaan negeri selepas IDCC mengambil tindakan terhadap Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) oleh Kasmuncak Holding Sdn Bhd ekoran kelewatan pihak berkuasa itu mengeluarkan Sijil Kelayakan Menduduki Sementara (CF) kepada IDCC.

IDCC dimiliki sepenuhnya Kasmuncak Holding Sdn Bhd bagi menjalankan perniagaan penyewaan pusat konvensyen terbabit.

“Kasmuncak Holding telah menfailkan satu tindakan undang-undang tuntutan ganti rugi terhadap MBSA.

“Semenjak daripada tindakan undang-undang yang telah diambil terhadap MBSA, semua agensi kerajaan, anak syarikat kerajaan negeri dan juga kerajaan tempatan negeri Selangor telah tidak lagi mahu menyewa premis Pusat Konvensyen Syarikat Ideal Convention Center Sdn Bhd.,” katanya.

Mengulas lanjut, Lee berkata jelas apa yang berlaku itu memperlihatkan tindakan salah guna kuasa Menteri Besar.

“Menteri Besar Selangor telah menyalahgunakan kuasa beliau untuk mengaibkan syarikat Kasmuncak Holding dan IDCC secara keseluruhannya yang telah merugikan syarikat.

“Perbuatan menteri besar berunsur peribadi, di mana ianya jelas tidak ada kaitan dengan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Tambah Lee lagi ekoran dakwaan tersebut beliau berkata kerajaan negeri Selangor dibawah pentadbiran Azmin kini berisiko berhadapan dengan tindakan undang-undang kerana didakwa memulaukan pusat konvensyen itu.

Menurut Lee juga tindakan tersebut turut mengakibatkan lebih 100 pekerja terjejas akibat pendapatan yang semakin berkurang.

“120 pekerja yang terjejas sebab kami sudah tidak pernah menerima apa-apa sewaan jadi tiadalah pendapatan sangat.

“Kami menuntut permohonan maaf daripada kerajaan negeri Selangor dan menarik balik arahan itu sebelum kami mengambil tindakan undang-undang 14 hari bermula hari ini,” tambahnya.
 

Lihat Komen