malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Laporan: Rakan Trump dikaitkan dengan Jho Low dakwa jadi mangsa
Diterbitkan:  Mar 11, 2018 3:37 PM
Dikemaskini: 8:17 AM
ADS

Penyumbang dana parti Republican, Elliot Broidy yang didakwa terlibat dalam rundingan melibatkan perjanjian bernilai AS$75 juta (RM295 juta) dengan ahli perniagaan Jho Low mendakwa menjadi mangsa dalam kes itu.

Sebelum ini Broidy didakwa cuba berunding dengan Jho Low untuk memastikan Jabatan Kehakiman AS (DOJ) menggugurkan siasatan terhadap kes 1MDB.

Rundingan itu mula didedahkan oleh Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa telah memperoleh e-mel menunjukkan Broidy yang merupakan rakan presiden AS Donad Trump, dalam draf cadangannya meminta bayaran AS$75 juta "jika DOJ menggugurkan siasatan segera".

"Dia (Broidy) kata sebab e-melnya tersebar dan menjadi bahan berita sekarang adalah kerana ia telah diceroboh oleh kerajaan asing, dan dia adalah mangsa sebenar di sini," kata hos televisyen Amerika, Rachel Maddow dalam program beritanya 'The Rachel Maddow Show' malam tadi.

Dalam episod berkenaan, Maddow memperincikan mengenai skandal 1MDB, bermula daripada isu 'sumbangan Arab' kepada pendedahan terkini mengenai perjanjian Jho Low itu.

Seperti dilaporkan oleh WSJ, e-mel bertarikh tahun lalu itu melibatkan perbincangan untuk mewujudkan kontrak rundingan dengan Low.

Dalam emel itu juga Broidy dikatakan telah merangka butiran ucapan dalam pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Donald Trump tahun lepas, termasuk isu "tindakan undang-undang AS dalam urusan 1MDB".

Jho Low didakwa terlibat dalam skandal 1MDB terutamanya selepas DOJ melancarkan beberapa saman pelucuthakan untuk merampas aset yang didakwa diselewengkan daripada dana 1MDB.

Ahli perniagaan itu sekali lagi mencuri perhatian apabila kapal layar mewah yang didakwa diperolehi menggunakan dana 1MDB dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia di Bali dalam operasi bersama dengan pihak berkuasa AS baru-baru ini.

Dalam programnya malam tadi, Maddow bercakap mengenai rampasa kapal layar Equanimity dan secara berseloroh mengucapkan tahniah kepada rakyat AS kerana mendapat "kapal layar baru" mereka.

Broidy dalam masalah

Maddow juga berkata Broidy, yang merupakan seorang kapitalis, baru-baru ini terlibat dalam satu lagi siasatan berprofil tinggi oleh DOJ yang diketuai oleh peguam khas Robert Mueller, berkaitan "pengaruh wang asing dalam kegiatan politik Trump".

Mueller dan pasukan pendakwanya, katanya, telah menemui saksi baru dalam siasatan mereka iaitu, George Nader, penasihat kepada kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Memetik laporan New York Times, Maddow berkata Nader menjadi seorang yang mesra dengan Broidy dan memperkenalkannya kepada putera mahkota UAE.

Syarikat Broidy kemudian menandatangani kontrak dengan UAE bernilai beberapa ratus juta dolar, katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa Broidy mengaku bersalah pada 2009 kerana menyogok para pegawai di New York sekitar AS $ 1 juta untuk manfaaat firma kewangannya.

Bagaimanapun, dia kemudian menarik balik pengakuan dan mengakui salahfaham berhubung kerjasamanya dalam kes ini, kata Maddow.

Maddow juga mengulas mengenai hubungkait Broidy dan Low, serta kes 1MDB secara umumnya, yang digambarkan beberapa kali sebagai "aneh" dan "pelik".

"Ya, sangat aneh apabila Trump menjemput perdana menteri Malaysia di Rumah Putih hanya beberapa bulan lalu pada September (tahun lalu) di tengah-tengah siasatan besar ini.

"Ini pelik, kan? Kes rasuah yang besar, skim berbilion dolar dan Trump menghoskan perdana menteri [...]? Di tengah-tengah kes besar ini oleh DOJ

"Itu cerita yang pelik, bukan? Siapa yang tahu di mana ia berakhir, "katanya.

[Baca berita penuh]

 

 

Lihat Komen