malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bukan kerana kerajaan negeri tak cakna, kata MB
ADS

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman membidas kenyataan Anggota Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang mendakwa kerajaan negeri tidak prihatin terhadap masalah kanak-kanak yang mengalami masalah tumbesaran akibat kekurangan zat makanan.

Beliau berkata dakwaan itu merupakan tuduhan liar dan berniat memfitnah kerajaan negeri pimpinan BN yang banyak membawa kemajuan kepada negeri ini.

Ahmad Razif menarik perhatian bahawa kes kurang zat makanan (KZM) yang berlaku di negeri ini adalah disebabkan dua faktor iaitu kelahiran cacat yang merencat pertumbuhan fizikal iaitu sebanyak 10-20 peratus seperti "cerebral palsy", congenital anomalies" dan lain-lain.

"Selain itu sikap ibu bapa dan keluarga yang kurang cakna atau kurang mahir tentang keperluan permakanan kanak-kanak juga faktor berlakunya isu KZM di negeri ini, bukan kerana kurang cakna kerajaan atau kemiskinan," katanya.

Ahmad Razif berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pelepasan peserta Kejohanan Kuda Lasak Piala Menteri Besar 2018 di Lembah Bidong, Setiu hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat.

Raja Kamarul Bahrin daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam sidang media di lobi Parlimen semalam mendakwa berdasarkan laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ( Unicef), 26 peratus kanak-kanak bawah lima tahun mengalami tumbesaran terbantut di Terengganu, iaitu yang kedua tertinggi selepas Kelantan.

Katanya, perkara itu mengejutkan kerana Terengganu menerima bajet RM2 bilion setiap tahun untuk satu juta penduduk berbanding Selangor yang mempunyai bajet lebih rendah iaitu RM1.6 bilion untuk lima juta penduduk sekali gus mendakwa kerajaan negeri seperti tidak prihatin dengan isu berkenaan.

Ahmad Razif berkata berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, pada 2013 terdapat hanya 2.38 peratus kanak-kanak di bawah umur lima tahun mengalami KZM.

"Prestasi ini kemudian diperbaiki iaitu hanya 1.15 peratus saja kes KZM pada 2017 daripada 19,755 kanak-kanak bawah lima tahun dan ia adalah yang kedua terbaik di seluruh Malaysia (selepas Johor)," katanya.

-Bernama

Lihat Komen