malaysiakini logo
ADS
story-image
ADS

Pembangkang mendesak kerajaan melucutkan gelaran Datuk yang diberikan kepada dua pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN), yang dilaporkan bersikap kurang sopan dengan menggunakan tanda lucah di khalayak ramai.

Akhbar Harakah pernah melaporkan perbuatan Menteri Besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob tanda lucah ketika penamaan pilihanraya kecil Sanggang sebelum ini.

Sementara itu, tindakan ahli parlimen Datuk Ho Cheong Sing (MCA-Ipoh Barat), menunjukkan beberapa kali tanda lucah ke arah orang ramai ketika berkumpul di Wisma MCA juga dilaporkan dalam akhbar utama, dua bulan lalu.

Desakan itu dibuat oleh Kerk Kim Hock (DAP-Kota Melaka), dalam ucapan penangguhan di Dewan Rakyat hari ini.

"Memandangkan mereka tidak sanggup meminta maaf dan langsung tidak insaf atas perbuatan mereka, kerajaan hendaklah melucutkan gelaran Dato yang dianugerahkan kepada mereka," kata Kerk.

ADS

Kepada cadangan pembangkan itu, Setiausaha Parlimen Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Khamsiah Yeop berkata gelaran darjah kebesaran boleh dimansuhkan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Kebebasan akhbar

Katanya, tiga sebab utama yang membolehkan gelaran seseorang dilucutkan; iaitu apabila disabitkan melakukan penipuan dan keburukan akhlak, apabila dilucutkan taraf kewarganegaraan atau menurut tidak layak menyandang gelaran tersebut menurut budibicara Yang di-Pertuan Agong.

ADS

Bagaimanapun Kerk menyoal kembali Timbalan Yang Dipertua Dewan, Datuk Muhamad Abdullah kerana tidak berpuas hati dengan jawapan itu yang dianggapnya terikat dengan peraturan birokrasi.

Dalam ucapan berasingan, Kerk juga membangkitkan isu pembelian Nanyang-Press Holding oleh MCA yang dikatakan menyekat kebebasan akhbar di negara ini.

Katanya isu tersebut turut ditentang oleh Naib Presiden MCA, Datuk Chan Kong Choy yang menganggap "pembelian itu tidak membawa manfaat dan dari segi perniagaan, Datuk Ling (Presiden MCA) harus membeli 'Fu Kui Sang Chuan' - sebuah taman perkuburan yang dijalankan secara komersial.

Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abu Zahar Isnin berkata kerajaan sentiasa mempertahankan dan menjamin kebebasan akhbar, termasuk akhbar parti Harakah dan Roket.

"Kerajaan tidak pernah mengambil tindakan terhadap mana-mana pemberita yang memuatkan perkara benar, walaupun mengkritik kerajaan," tegas beliau.

Katanya, kerajaan tidak bercadang menggubal undang-undang menyekat pembelian akhbar oleh mana-mana parti atau kumpulan perniagaan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.