malaysiakini logo
story-image
ADS

Kerajaan Selangor tidak seharusnya dipersalahkan dalam masalah gangguan bekalan air yang berlaku di negeri itu, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Kalau berani, salahkan perdana menteri," kata menteri besar Selangor itu kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian sempadan antara Selangor dan Pahang di Shah Alam, hari ini.

"Saya tidak ingin menuding jari kepada sesiapa tetapi bagi pihak kerajaan negeri, kita telah mengambil semua langkah proaktif bagi memastikan (masalah) tidak berlaku," katanya.

Beliau menjawab soalan sama ada kerajaan negeri patut dipersalahkan berhubung gangguan bekalan air di Kuala Lumpur dan enam kawasan di Selangor yang berlaku sejak Selasa lalu.

Beliau yang juga timbalan presiden PKR berkata, masalah yang berlaku di luar kuasa kerajaan negeri belum mengambil alih Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) daripada kerajaan pusat.

"SPLASH bukan bawah kerajaan negeri. Kami dalam proses ambil alihnya tetapi ia belum selesai, kedua-dua pihak diberi masa sehingga Julai 2018 untuk memuktamadkannya.

"Jadi jika ia bukan aset (kerajaan negeri), bagaimana kami boleh masuk dan jalankan penyenggaraan?" soalnya.

Gangguan bekalan air kali ini berpunca daripada kerja membaik pulih Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) yang berada di bawah pengurusan Splash yang dilaksanakan awal minggu ini.

Namun Sistem Mampatan Udara (Surge Vessel System) di SSP3 pecah secara tiba-tiba pada Selasa lalu menyebabkan pemulihan bekalan air terpaksa ditangguhkan sehingga Ahad ini.

Azmin juga menyangkal sesetengah pihak yang mendakwa pihaknya langsung tidak berbuat apa-apa berkenaan isu itu dan berkata telah membelanjakan ratusan juta ringgit bagi membaiki paip di 84 lokasi.

"Langkah membaiki paip lama semuanya dibayar kerajaan negeri. Kami tidak menunggu kerajaan persekutuan, kami mengambil inisiatif dan perbelanjaan sendiri," katanya lagi.

Lihat Komen