malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Laporan: SPRM mula siasat kes akaun pengarah Bukit Aman
Diterbitkan:  Mar 6, 2018 10:55 AM
Dikemaskini: 3:03 AM
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat kes pembekuan akaun Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd oleh pihak berkuasa Australia.

Menurut laporan The Sun, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata siasatan dibuat susulan laporan yang dibuat seorang pemberi maklumat semalam.

"Pada mulanya kita mendengar tentang kes ini dan tidak boleh terus membuat tindakan. Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, kami menghormati siasatan dalaman polis dan kenyataan oleh timbalan perdana menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi).

"Kami akan mengambil kira perkara itu dan dengan maklumat baru yang kami terima daripada pemberi maklumat semalam, kami akan mulakan siasatan secepat mungkin," katanya seperti dipetik.

Beliau enggan mendedahkan identiti pemberi maklumat itu yang dilindungi bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Azam berkata pegawai siasatan SPRM akan pergi ke Bukit Aman dan berhubung degan polis Australia bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kes itu.

"Kes ini berlaku di Australia pada 2016. Maka kami perlu mendapatkan maklumat berkaitan daripada polis persekutuan Australia dan pihak berkuasa negara itu," katanya lagi.

Beliau meminta orang ramai memberikan ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dan tidak membuat spekulasi berkenaan perkara itu.

Pada 2 Mac lalu, akhbar Australia Sydney Morning Herald melaporkan pembekuan akaun Wan Ahmad dengan jumlah lebih A$320,000 (RM971,800) kerana disyaki mempunyai wang yang dicuci atau hasil daripada kegiatan jenayah.

Azam dilaporkan berkata SPRM menghormati siasatan polis yang membersihkan Wan Ahmad daripada sebarang kesalahan berkaitan perkara itu tetapi akan memulakan siasatan jika laporan rasmi dibuat kepada mereka.

Lihat Komen