malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hikayat pelayaran Hang Jolo
Diterbitkan:  Mar 3, 2018 8:25 PM
Dikemaskini: Mar 5, 2018 1:29 PM
ADS

SATIRA |  Panglima Awang atau Enrique of Malacca (Henry the Black) dikatakan manusia pertama mengelilingi dunia. Bukan Ferdinand de Magellan, pelayar bangsa Portugis yang diceritakan sejarah ditulis oleh orang Barat yang banyak menipu, menjajah dan merompak merata planet.

Kita dimomokkan dengan nama-nama Vasco de Gama, Christopher Columbus dan Ferdinand de Magellan sehingga melupakan kejaguhan Panglima Awang. Malah, tiada siapa politikus Melayu Islam yang sering menuduh Barat, Yahudi dan kafir harbi serta DAP sebagai musuh utama, sanggup ke mahkamah dunia memperjuangkan fakta seorang pelayar Melayu yang hebat.

Walau apa pun yang berlaku ratusan tahun lalu, kini pada era wasatiyyah, transformasi nasional, maqasid shariah dan kegemilangan politikus Melayu Islam yang menerima derma peribadi paling besar dalam sejarah dunia, kita mesti sama berbangga dengan kejayaan seorang lagi anak kelahiran Malaysia.

Lelaki tambun selebriti dan pemurah dengan para selebriti lain itu bukan sahaja bertaraf bilionair pada usia muda, malah mengelilingi dunia berkali-kali selama empat tahun.

Tidak mungkin Vasco de Gama, Christopher Columbus, Ferdinand de Magellan dan Panglima Awang mampu melakukan apa yang dilakukan oleh Hang Jolo.

Apalagi kapal mewah Equanimity yang berharga RM1 bilion itu adalah ranking ke 58 dunia, jauh lebih baik dari ranking indeks persepsi rasuah negara, apa lagi ranking FIFA untuk pasukan bola kita yang terus merudum walau berjuta pemain bola di negara kita.

Hang Jolo bukan sahaja berkelulusan daripada sebuah univeristi hebat, malah kegeniusan beliau dalam urusan perompakan wang rakyat secara berhemah dan pembersihan wang haram melalui transaksi bank merata planet diakui antara yang terbesar dalam sejarah dunia.

Kejayaan besar tutup bank Yahudi

Begitu banyak negara maju yang masih terkejut beruk kerana sistem kewangan mereka bukan sahaja diliwati secara sopan dan terhormat, malah ada bank kepunyaan Yahudi yang kejam itu diarahkan tutup.

Itu juga kejayaan besar Hang Jolo yang mesti kita akui dan sanjung setinggi langit.

Sebab itu gelaran 'Pirate of carryBN' yang dianugerahkan oleh rakyat yang masih terus membayar hutang piutang syarikat Wanemdibi merupakan anugerah tertinggi yang tiada taranya dalam dunia.

Malah dengan sokongan padu para pemimpin Melayu Islam, dari bertaraf perdana menteri merangkap presiden parti Melayu Islam terbesar dunia kepada para menteri, politikus, blogger upahan, agamawan dan macai yang masih gembira dengan dedak dan BR1M, Hang Jolo mesti dipertahankan maruahnya.

Jangan biarkan negara-negara kapir seperti Amerika melalui DoJ dan FBInya, Switzerland, Singapura, mahupun negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia memalukan, mengaibkan dengan terus merampas aset, dana dan menangkap Hang Jolo.

Kalau tidak kerana kegeniusan Hang Jolo, tentu ramai para JKKK, imam, bilal yang tidak dapat menunaikan haji daripada tajaan Hang Jolo melalui Wanemdibi.

Kalau tidak kerana kecekapan Hang Jolo juga, mana ada pembangunan di TRX dan penjualan IPP kepada syarikat komunis China yang terus membantu ekonomi kita dengan kredit beratus bilion.

Kalau tidak kerana strategi dan perancangan Hang Jolo, tentu si mamat anak tiri presiden parti Melayu Islam paling besar di cakerawala tidak mungkin menjadi produser filem 'lucah' di Hollywood yang untung beratus juta hasil kutipan filem.

Percaturan licik dan diplomasi Jolo

Kalau tidak kerana percaturan licik dan diplomasi Hang Jolo, takkan pak Arab ikhlas tulus mulus menderma kepada presiden Parti Melayu Islam terbesar dunia sebanyak RM2.6 bilion sebagai hadiah kempen pilihanraya menentang DAP, menentang Yahudi dan menentang kafir harbi.

Bersyukurlah dengan keistimewaan Hang Jolo sehingga beliau tidak mungkin disentuh oleh mana-mana perundangan dalam negara, apalagi agensi seperti SPRM, Polis dan Bank Negara dengan perlindungan oleh bapak angkatnya, presiden parti Melayu Islam terbesar galaksi yang mahu kita panggil hanya sebagai brudder MO1.

Kerana itu kita dapat melihat para politikus parti Melayu Islam terbesar cakerawala beriya-iya mempertahankan Hang Jolo yang difitnah, dihina, diburu dengan segala tuduhan tanpa asas begitu rupa hanya kerana dia anak angkat presiden parti Melayu Islam terbesar cakerawala.

'Fake news', tohmahan pembangkang

Janganlah kita percaya 'fake news' atau berita palsu dan tohmahan pembangkang yang tidak mempunyai batang tubuh sehebat Hang Jolo.


BacaSalleh: Tiada bukti Jho Low pemilik Equanimity


Malah, semenjak Equanimity menjadi berita besar seluruh dunia (kecuali media perdana kepunyaan parti Melayu Islam terbesar dunia yang merahsiakan atas sebab keselamatan para politikus), nama negara kita terus harum semerbak.

Terkenal sehingga tiada siapa yang tidak kenal di mana negara Islam wasatiyyah yang memperjuangkan Palestin, Rohingya termasuk mengizinkan diplomat Israel untuk membuktikan amannya negara yang politikusnya baik-baik, tidak rasuah, tidak merompak dan tidak berbohong walau sekali pun.

Sama-samalah kita berdemonstrasi di kedutaan Indonesia, selain bersolat hajat setiap malam agar Equanimity yang tidak berdosa itu dibebaskan dan Hang Jolo terus dapat mengelilingi dunia sampai bila-bila.

Sama-samalah kita memboikot apa sahaja produk Amerika (selain Boeing sebab kita mahu membantu ekonomi Amerika) terutama media mereka yang kaki fitnah dan penyebar fake news.

Sama-samalah kita memastikan kemenangan majoriti dua pertiga kalau tidak 100 peratus untuk komponen PirateBN dalam pilihanraya nanti agar Hang Jolo merdeka, bebas dan terus menjadi wira negara yang suci, murni dan maksum.

Takbir! Hidup Melayu Islam! Hidup parti Melayu Islam terbesar di cakerawala! Hidup MO1!

 


 

MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 

Lihat Komen