Setiausaha Akhbar kepada perdana menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir memfailkan saman terhadapnya semata-mata untuk menagih simpati politik daripada rakyat.
“Saya tidak tahu dan saya tidak faham tetapi saya percaya ia adalah satu tindakan untuk menagih simpati politik daripada rakyat semata-mata,” katanya menerusi pernyataan saksi yang dikemukakan di dalam perbicaraan saman difailkan Mukhriz terhadapnya atas dakwaan mengeluarkan dua kenyataan berunsur fitnah pada April 2016.
Tengku Sariffuddin, 56, yang berkhidmat selama 27 tahun sebagai setiausaha akhbar kepada Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kenyataan media bertarikh 23 April 2016, yang diterbitkan di Facebook atas nama “PMO Malaysia” adalah komen dan maklum balas terhadap kerjaya politik Mukhriz dan bukan memfitnahnya.
“Saya percaya seorang pembaca yang waras akan lihat bahawa kenyataan itu adalah komen dan respons saya dalam konteks perjalanan politik plaintif iaitu kenyataan bahawa beliau tidak ada cita-cita untuk jadi perdana menteri seperti yang dilaporkan dalam akhbar South China Morning Post.
“Di dalam kenyataan itu, saya tidak menyatakan apa-apa yang menghina dan memfitnah beliau (Mukhriz) atau boleh mendedahkan beliau kepada sebarang cemuhan awam,” katanya sambil menambah sebagai seorang pemimpin politik, Muhkriz tidak seharusnya terlalu sensitif kepada analisis ataupun pendapat tentang perkembangan politiknya.
Tengku Sariffuddin, selaku defendan dalam kes saman itu menjelaskan bahawa kenyataannya hanya memaparkan pandangan atau analisis politik terhadap hala tuju masa depan politik Mukhriz, yang juga timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berdasarkan faktor-faktor dan proses yang dilalui Mukhriz.
Tengku Sariffuddin, yang berpengalaman sebagai wartawan berkata beliau tidak menuduh Mukhriz sanggup melakukan apa saja untuk mencapai cita-cita politiknya.
“Saya juga berpendapat bahawa jikalau seorang anggota politik bercita-cita menjadi perdana menteri Malaysia ia bukanlah suatu sindiran tetapi satu hasrat atau harapan untuk menyumbang dengan lebih besar kepada negara jika mendapat sokongan majoriti anggota parti,” katanya yang turut memaklumkan beliau tidak pernah menuduh plaintif (Mukhriz) sebagai gila kuasa atau sanggup melakukan penipuan dalam mana-mana kenyataan media.
Berhubung satu lagi kenyataan media yang dikeluarkan pada 26 April 2016, Tengku Sariffuddin menjelaskan bahawa ia tidak relevan dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan Mukhriz kerana ia ditujukan kepada bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya menyatakan bahawa walaupun nama Mukhriz telah disebut dalam kenyataan media itu, tetapi ia tidak merujuk dan tidak relevan kepadanya,” katanya sambil menambah kenyataan itu diterbitkan berhubung isu yang timbul ketika itu.
Tengku Sariffuddin berkata ketika itu terdapat pelbagai tohmahan yang dibuat oleh Dr Mahathir dalam mencapai matlamat politiknya termasuk memburukkan Umno, anggota serta presiden parti itu.
“Pada saya, ini adalah kaedah percaturan politik yang dipilih oleh Dr Mahathir bagi meraih sokongan terhadap parti politik yang ditubuh olehnya bersama anggota yang lain,” katanya.
Tengku Sariffuddin berkata daripada kajian yang dilakukan oleh pasukan kajian di Bahagian Media Pejabat Perdana Menteri termasuk pelbagai maklum balas yang diterima dan juga pengamatannya sendiri, mereka membuat keputusan bahawa serangan politik Dr Mahathir wajib dijawab bagi menerangkan keadaan sebenar.
“Kami dapati bahawa memang terdapat persepsi politik umum bahawa Dr Mahathir bercita-cita atau berniat untuk membantu anaknya (Mukhriz) menjadi perdana menteri, apatah lagi dengan jawatan naib presiden dalam parti baharunya iaitu PPBM.
“Betul atau salah inilah tanggapan rakyat umum berdasarkan tindak-tanduk Dr Mahathir dan pemimpin-pemimpin rakan politik beliau yang lain, yang enggan sehingga sekarang menamakan siapakah yang akan jadi perdana menteri sekiranya pakatan politik mereka menang pilihan raya umum nanti,” katanya yang turut menjelaskan kenyataannya itu adalah tindak balas kepada serangan dan dakyah politik Dr Mahathir.
Beliau berkata sebagai pegawai kanan di bahagian media di Pejabat Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab untuk membetulkan ‘misinformation’ yang bersifat serangan politik supaya rakyat faham keadaan sebenar.
Beliau turut memaklumkan bahawa kenyataan-kenyataan media yang dikeluarkan merupakan analisis terhadap bidang politik Malaysia secara keseluruhan, semenjak beliau memegang jawatan setiausaha akhbar pada 1997.
Tengku Sariffuddin berkata beliau mengeluarkan kenyataan media berkenaan dengan niat untuk pengetahuan dan kepentingan orang awam serta bertanggungjawab memberi pencerahan kepada masyarakat berkaitan kenyataan atau tindakan politik yang dibuat pihak tertentu mempunyai agenda jahat bertujuan menggugat perjalanan sebuah kerajaan yang sah.
Disoal peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Mukhriz berhubung kenyataan dikeluarkannya yang memberi gambaran bahawa anak guamnya terlalu bergantung kepada Dr Mahathir untuk bergiat dalam politik, Tengku Sariffuddin berkata: “Saya tidak setuju dan terpulang kepada rakyat untuk menilai sendiri”.
Bagaimanapun, Tengku Sariffuddin, yang diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, bersetuju dengan cadangan Mohamed Haniff bahawa kedua-dua kenyataan yang dikeluarkan itu adalah berdasarkan fakta dan pendapatnya.
Tengku Sariffuddin akan menyambung keterangannya pada 15 Mac. Saman itu didengar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.
Mukhriz memfailkan saman pada 3 Mei 2016 mendakwa bahawa Tengku Sariffuddin telah mengeluarkan dua kenyataan yang berbaur fitnah terhadap beliau pada April, 2016.
Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud Dr Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkomplot dalam kempen jahat bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah dan plaintif masih terbabit secara langsung dalam komplot antara Dr Mahathir dan Muhyiddin.
-Bernama

