malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Rampas kapal layar Jho Low bukti tindakan boleh diambil'
ADS

Rampasan kapal layar mewah yang dikaitkan dengan jutawan kontroversi, Jho Low membuktikan tindakan boleh diambil terhadap mereka terlibat dalam 1MDB sekalipun mereka tiada dalam negara.

Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulas mengenai operasi merampas kapal layar berkenaan di Bali oleh polis Indonesia dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat semalam.

"Jika polis kata dia tidak ada dalam negara, maka kes di Indonesia menunjukkan bahawa walaupun dia (Low) tidak ada di Amerika Syarikat, tindakan masih boleh diambil terhadapnya," kata Muhyiddin pada sidang akhbar di ibu pejabat BERSATU di Petaling Jaya hari ini.

Muhyiddin berkata sekiranya Indonesia boleh bertindak berdasarkan tindakan oleh Jabatan Keadilan AS (DOJ), tiada sebab mengapa Malaysia tidak boleh berbuat perkara sama.

Lebih-lebih lagi katanya, isu 1MDB bermula di negara ini.

"Contohnya, sekarang kapal layar itu telah dirampas, tidak bolehkah waran tangkap dikeluarkan terhadap Jho Low?" soalnya.

Akhbar Indonesia semalam melaporkan bahawa kapal Equaminity, yang dikatakan bernilai AS$250 juta (RM1 bilion) berada dalam perairan Indonesia sejak November tahun lalu dan membawa seramai 34 anak kapal.

Low bagaimanpun tidak berada di atas kapal itu ketika rampasan dilakukan.

Kapal itu adalah sebahagian daripada aset yang ingin dirampas DOJ atas alasan ia dikatakan dibeli menggunakan wang yang diseleweng daripada 1MDB.

Kerajaan secara konsisten menafikan dakwaan itu.

 

Lihat Komen