malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Akhbar Melayu, Inggeris abai laporan kapal Jho Low dirampas
Diterbitkan:  Mar 1, 2018 3:10 PM
Dikemaskini: 3:44 PM
ADS

Ketika rampasan kapal mewah Jho Low menghias dada media antarabangsa, akhbar-akhbar utama berbahasa Melayu dan Inggeris di Malaysia memilih tidak mengetengahkan isu itu.

Perkembangan besar melibatkan siasatan Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat (AS) itu dikesan tidak dimuatkan Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times.

Harian Umno, Utusan Malaysia di muka depannya melaporkan acara Transformasi Nasional 2050 (TN50) mnelibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Berita Harian pula memfokuskan kepada isu lambakan produk kesihatan dan kosmetik tidak berdaftar dan tiruan.

Bagaimanapun, Utusan, di versi atas taliannya hari ini, menyiarkan artikel mendakwa rampasan kapal itu tiada kaitan dengan 1MDB.

Berita Harian dalam versi atas taliannya pula memetik jurucakap Jho Low yang berkata rampasan itu tidak berasas dan bermotifkan politik.

Antara akhbar utama berbahasa Melayu, hanya Sinar Harian melaporkan rampasan semalam. Sinar memuatkan iklan acah rampasan itu di muka depan dan menyiarkan laporannya di halaman 10.

Polis Indonesia dengan kerjasama Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat semalam merampas kapal layar mewah Equanimity milik Jho Low yang didakwa diperoleh menggunakan dana yang disalah guna bersumberkan 1MDB.

Dalam rampasan di Bali itu, 34 orang anak kapal berada di situ tetapi tiada kelibat Jho Low dilaporkan.

Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho melalui jurucakap menyifatkan DOJ, AS "keterlaluan" kerana bertindak di peringkat global tetapi “tidak melihat kembali dakwaan yang bermotifkan politik dan penuh kelemahan”.

Sementara itu, akhbar berbahasa Inggeris, The Star di muka depannya melaporkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap “Datuk Seri” yang didakwa menerima RM19 juta bagi menutup siasatan terhadap projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Tindakan itu turut dilaporkan New Straits Times di halaman utamanya, yang turut mengetengahkan rancangan imigresen untuk menapis pembantu rumah asing yang mempunyai rekod jenayah dan acara TN50 seperti Utusan.

Rampasan Equanimity juga tidak dilaporkan di halaman dalam New Straits Times.

The Star dan New Straits Times melaporkan rampasan itu serta respon Low dalam versi atas talian mereka.

Kesemua akhbar Cina melaporkan rampasan itu. Malah Sin Chew Daily dan Oriental Daily memuatkannya di muka depan.


NOTA EDITOR

Versi awal artikel ini menyebut The Star tidak melaporkan berita rampasan kapal itu dalam akhbarnya. Selepas semakan, didapati ia dilaporkan di halaman Bisnes akhbar itu. Kekeliruan itu adalah dikesali.

Lihat Komen