malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
1MDB-Mahkamah batal 'amaran keras' UM pada siswa
ADS

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan keputusan Universiti Malaya untuk mengenakan denda dan 'amaran keras' kepada empat mahasiswa kerana mempamerkan sepanduk bantahan semasa suatu pertemuan dialog ala townhall anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) bersama presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Hakim Datuk Azizah Nawawi dalam keputusan beliau berkata terdapat ketidakpatuhan prosedur dengan Peraturan 54 Peraturan Disiplin Pelajar Universiti Malaya 1999.

Oleh itu, beliau membenarkan permohonan semakan kehakiman mahasiswa terbabit untuk menolak keputusan pihak berkuasa disiplin UM.

Beliau tidak membuat perintah berkaitan kos.

Bagaimanapun, Hakim Azizah tidak membenarkan dua lagi permohonan mahasiswa terbabit, yang satu melibatkan pengisytiharan peraturan universiti itu melanggar hak kebebasan bersuara mereka.

Satu lagi permohonan mahasiswa terbabit meminta mahkamah mengisytiharkan peruntukan di bawah peraturan universiti tersebut sebagai tidak berperlembagaan kerana jawatankuasa disiplin itu sendiri yang menjalankan siasatan, pendakwaan dan penghakiman.

Mahasiswa tersebut diwakili peguam Lim Wei Jiet dan Abraham Au sementara UM diwakili peguam Adam Abdullah.

Pada September tahun lalu, dilaporkan Hakim Azizah membenarkan empat siswa UM tersebut mencabar sabitan kes sepanduk 1MDB itu.

Mahasiswa terbabit merupakan bekas presiden University of Malaya Association of New Youth (Umany), timbalan presiden Umany Tan Jia You, ketua biro publisiti Umany Chua Hun Ti dan setiausaha agung Umany Lau Li Yang.

Mereka didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan oleh jawatankuasa disiplin universiti dan didenda di antara RM200 ke RM600.

Mereka didakwa menganggu majlis dengan menaikkan sepanduk dengan perkataan '1MDB Pulangkan Duit Rakyat' dan didakwa menjejaskan ketenteraman dan kesopanan awam dengan memegang sepanduk tersebut serta campur tangan dalam majlis rasmi universiti.

Mereka membuat rayuan kepada jawatankuasa rayuan UM tetapi jawatankuasa mengekalkan keputusan tetapi membuang hukuman denda. Mereka telah diberi amaran keras oleh pihak universiti.

1MDB ialah syarikat pelaburan milik kerajaan yang terlibat masalah hutang dan kehilangan dana serta menjadi subjek saman sivil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat yang menamakannya sebagai kes kleptokrasi paling besar di dunia.

[Baca berita asal]

Lihat Komen