malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
‘Sembunyikan bukti 1MDB di bawah OSA adalah jenayah’
ADS

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa adalah menjadi suatu kesalahan bagi kerajaan untuk meletakkan tiga laporan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Bank Negara terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan syarikat 1MDB di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Mahathir mempersoalkan mengapa laporan berkenaan perlu disembuyikan daripada pengetahuan orang ramai.

"Suatu perbuatan jenayah oleh mana-mana pegawai kerajaan tidak menjadikan ia suatu rahsia rasmi. Rahsia rasmi bukan mengenai (menyembunyikan) perbuatan jenayah.

"Menjadi kesalahan untuk meletakkan tiga laporan tersebut di bawah OSA kerana ia seakan suatu usaha untuk menyembunyikan. Bila kamu menyembunyikan bukti suatu jenayah kamu sebenarnya telah melakukan jenayah," kata beliau.

Menurutnya, bukti mengenai 1MDB tidak pernah ditunjukkan kepada mahkamah atau orang ramai, sedangkan orang ramai perlu tahu mengenai tiga laporan terhadap Najib mengenai kes tersebut.

Mahathir ditemui setelah selesai memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes saman fitnah anaknya Mukriz Mahathir terhadap Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Beliau diminta mengulas berkenaan keputusan Mahkamah Rayuan dua minggu lalu yang menolak rayuan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang memohon untuk mengetepikan perintah injunksi sementara yang diperoleh oleh perdana menteri terhadapnya (Pua) berhubung klip video yang Perdana Menteri mendakwa berbaur fitnah.

Dalam keputusan itu, Mahkamah Rayuan membuat pengiktirafan kehakiman yang mengatakan Najib Razak tidak bersalah dalam kes 1MDB.

Mahathir turut menzahirkan rasa kecewa ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak saman beliau dan Khairuddin terhadap Najib.

"Saya tidak faham kenapa (Najib) bukan seorang pegawai awam. Apa yang beliau lakukan melibatkan kerajaan dan melibatkan orang awam.

Mahathir kemudiannya bertanyakan pemberita siapa yang mengetuai panel hakim dan apabila diberitahu Ketua Hakim Negara Tan Sri Mr Raus Sharif beliau berkata, "saya ragu dengan keabsahan kedudukan beliau."

"Saya fikir beliau (Hakim Raus) tidak patut mendengar kes ini," kata beliau.

Tiga anggota panel Mahkamah Persekutuan pada awal hari ini menolak permohonan kebenaran rayuan saman misfeasans Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam jawatan awam ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sehubungan itu, penghakiman Mahkamah Tinggi pada 28 April 2016 bahawa Najib bukan pegawai awam masih kekal.

Ini susulan Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif yang menolak permohonan kebenaran rayuan oleh bekas perdana menteri itu dan Khairuddin setelah mengketepikan permohonan mereka supaya beliau mengundurkan dirinya daripada membicarakan kes berkenaan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen