Kementerian Pertahanan menyangkal dakwaan bahawa kelengkapan tentera udara yang dibeli oleh kerajaan merupakan sistem yang telah ketinggalan zaman dan tidak digunakan lagi di negara-negara maju.
"Anggapan ramai bahawa alat-alat pertahanan yang dibeli untuk kelengkapan pertahanan negara sebagai ketinggalan zaman dan sudah tidak digunakan lagi di negara-negara maju adalah tidak benar dan tidak mempunyai asas," beritahu Menterinya Datuk Seri Mohd Najib Razak di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan Abu Bakar Othman (PAS-Jerlun), Najib berkata, pembelian peralatan udara perlu melalui kajian teliti dan profesional kerana ia melibatkan pertahanan dan keselamatan negara.
Najib menjelaskan, kelengkapan yang dibeli dipastikan mempunyai kemampuan dan teknologi canggih serta memenuhi spesifikasi yang ditetapkan dan selaras dengan peruntukan pertahanan yang diluluskan.
Beliau juga menyebutkan dalam jangka masa lima tahun, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah memperolehi pesawat dan radar yang canggih seperti pesawat F/A-18D, MiG-29, CN-235, kapal-kapal Frigat dan korvet yang dilengkapi peluru berpandu dan radar pertahanan udara Alenia.
Tambahnya, TUDM memberi penekanan supaya pesawat dan radar yang berada di peringkat pertengahan jangka hayat diberikan peningkatan melalui program-program yang telah dirancangkan.
"Ini adalah penting kerana sistem pesawat dan radar mestilah setanding dengan teknologi semasa," katanya.
Kemalangan udara
Bagi pesawat dan radar yang telah tamat jangka hayat, beliau menjelaskan TUDM akan menamatkan perkhidmatan peralatan itu dan menyediakan program penggantian yang terancang.
Wakil PAS itu, dalam soalan tambahan, menyebut beberapa kemalangan udara yang berlaku seperti pesawat latihan tentera udara dari pangkalan Kepala Batas, Kedah terhempas dalam sawah padi dan kemalangan helikopter di Sipitang, Sabah.
Najib menjawab, kemalangan itu berpunca daripada "kesilapan manusia" dan bukan kerana peralatan yang tidak sesuai.
Katanya juruterbang tentera mempunyai risiko yang lebih tinggi iaitu memandu dengan cara yang lebih berbahaya daripada juruterbang awam.
Raja Datuk Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut) pula bertanya langkah kementerian menangani ancaman di kawasan-kawasan sempadan.
Najib menegaskan, pihaknya sentiasa bertindak meningkatkan keupayaan semua peralatan dan senjata mengikut kemampuan negara.
"Berdasarkan keupayaan kita sekarang, (peralatan) pesawat dan senjata setanding dengan negara-negara serantau," katanya lagi.