malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib bukan makan quinoa semata-mata
Diterbitkan:  Feb 23, 2018 10:25 PM
Dikemaskini: 2:33 PM
ADS

Datuk Seri Najib Razak tidak mengambil bijirin quinoa semata-mata sebagai hidangan hariannya, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Memberikan kenyataan sebagai reaksi laporan media mengenai amalan pemakanan sihat itu PMO berkata perdana menteri menghadiri banyak acara setiap minggu dan sentiasa dijamu dengan pelbagai makanan.

Antara hidangan yang diberikan kepada Najib, kata PMO, ialah nasi.

Atas pandangan pakar kesihatan, katanya, Najib dinasihat mengambil bijirin quinoa.

"Ini merupakan sebahagian daripada rejim diet sihat yang diamalkan oleh beliau.

"Ia juga adalah atas nasihat doktor," kata PMO melalui kemas kini di Facebook sebentar tadi.

Semalam nama quinoa menjadi perbualan ramai apabila perdana menteri mendedahkan bijirin itu menjadi menu hidangannya sebagai langkah menjaga kesihatan.

Najib bercerita mengenai amalan pemakanan itu semasa bercakap di program dialog Bajet 2018 Bersama Rakyat: Kesejahteraan Isi Rumah di Bangi, Selangor semalam.

"Saya suka makan. Masalah saya ialah saya suka makanan, macam kebanyakan orang Malaysia.

"Kita suka makanan (tapi) saya kena kawal. Misalnya, saya tak makan nasi, saya makan quinoa.

"Anak saya perkenalkan quinoa kepada saya" katanya.

Isu itu segera menarik reaksi ramai terutama pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN).


Baca Kit Siang: PRU14 mengenai quinoa lawan beras


Bekas perdana menteri yang juga Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad adalah antara tokoh yang menyindir Najib menggunakan isu quinoa hari ini.

PMO menjelaskan untuk memastikan kesihatannya berada pada tahap yang baik Najib turut melakukan senaman secara rutin.

"PMO menggesa orang ramai untuk menonton ucapan YAB Perdana Menteri dalam program Bajet 2018 Bersama Rakyat: Kesejahteraan Isi Rumah apabila beliau berkongsi pelbagai perkembangan terkini negara dan kerajaan persekutuan di Najib Razak : #Bajet2018 Bersama Rakyat - Kesejahteraan Isi Rumah," katanya.

Lihat Komen