malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Jodoh' Wan Saiful, BERSATU masih teka-teki
ADS

Sehari selepas disebut bakal menganggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), tokoh akademik terkenal Wan Saiful Wan Jan muncul di ibu pejabat pertubuhan berkenaan, hari ini.

Bagaimanapun Wan Saiful enggan memberi sebarang pengesahan mengenai langkah yang bakal diambilnya selepas dia meninggalkan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) yang diasaskannya.

Ditanya sama ada akan menjadi anggota BERSATU Wan Saiful berkata dia tidak akan memberikan sebarang jawaban hari ini, namun memberitahu penjelasan akan dibuat di halaman Facebooknya.

"Saya datang melawan kerana kami merancang satu majlis," katanya kira-kira jam 6.30 petang tadi di Petaling Jaya.

Pada masa sama Wan Saiful menegaskan ada beberapa pemimpin parti politik berhubung dan berbincang dengannya.

Wan Saiful juga menyatakan dia masih anggota PAS sejak menyertai parti itu pada 20 Sept 2017.

Tunggu di lain masa

Malaysiakini pada 22 Feb melaporkan Wan Saiful dijangka bakal menjadi anggota BERSATU dan diturunkan sebagai salah seorang calon Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya umum akan datang.

Sumber dalaman HARAPAN memberitahu pengumuman mengenai penyertaan Wan Saiful akan dibuat tidak lama lagi.'

Dalam kenyataannya semalam pula Wan Saiful mengaitkan pemergiannya daripada Ideas dengan "risiko" yang akan dihadapi tidak lama lagi.

"Setelah menghabiskan masa sembilan tahun terakhir dalam hidup saya untuk membina Ideas, tidak mudah bagi saya melangkah pergi.

“Tetapi saya perlu melangkah sekarang atau saya akan menyesal selama-lamanya,” katanya.

Ditanya lebih lanjut mengenai kemungkinan dia dicalonkan dalam PRU nanti Wan Saiful berkata dia sendiri mengetahui tentang perkara berkenaan daripada laporan media.

"Tunggu sehingga seseorang membuat tawaran yang betul," katanya.

Wan Saiful juga secara bersahaja memberitahu media, mereka tidak akan mendapat jawaban daripadanya pada hari ini di sebalik pelbagai soalan yang dikemukakan.

"Cubaan yang baik, bagus..." katanya.

Lihat Komen