malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Sivaraajh patut tanya apa MIC buat untuk kaum India'
Diterbitkan:  Feb 23, 2018 5:49 PM
Dikemaskini: 10:31 AM
ADS

Ketua Pemuda MIC, C Sivaraajh perlu menyoal partinya sendiri mengenai apa yang telah dilakukan terhadap masyarakat India daripada menuduh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminggirkan masyarakat itu.

Menyifatkan C Sivaraajh sebagai budak hingusan, ADUN Sungkai dari DAP, A Sivanesan berkata, pemimpin MIC itu perlu melihat sejarah dan gambaran yang lebih besar sebelum mengeluarkan kenyataan.

"MIC gemilang semasa Mahathir dan parti itu diamanahkan untuk menjaga kaum India.

"Sekiranya masyarakat (India) masih di takuk lama (selepas Mahathir letak jawatan), adakah salah Mahathir atau MIC?" soal Sivanesan kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Beliau mengulas kenyataan Sivaraajh semalam yang mendesak kaum India berhati-hati dengan pencalonan semula Mahathir sebagai perdana menteri.

Ini kerana katanya, masyarakat India ketika era Mahathir sukar menduduki jawatan tertinggi dan diberikan penghargaan seperti berlaku sekarang.

Sivaraajh menyebut pelantikan Datuk A Thaiveegan sebagai Ketua Polis Pulau Pinang, Subromaniam Tholasy sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kastam, Narinder Singh sebagai Pesuruhjaya Penjara serta Datuk Seri Amar Singh selaku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman sebagai contoh.

Jutawan dan bilionaire

"Ada terdapat kira-kira 1.6 juta penjawat awam di negara ini dan kaum India kira-kira tujuh peratus daripada keseluruhan penduduk.

"Bagaimana Sivaraajh menyatakan hanya tiga atau empat contoh dan menganggapnya sebagai kebenaran?" soalnya.

Justeru beliau meminta ketua pemuda MIC melihat masalah itu secara menyeluruh sebelum mengeluarkan kenyataan tidak berasas.

Sivanesan berkata dakwaan peminggiran kaum India di negara ini bermula sejak sebelum era Mahathir, tetapi pada zaman beliau, Malaysia menyaksikan kemunculan beberapa jutawan India.

"Kita ada jutawan dan bilionaire seperti (Tan Sri) T Ananda Krishnan dan ((Tan Sri) G Gnanalingam yang muncul semasa zaman Mahathir. Apa yang kita ada sekarang?

"Sekalipun kenyataan Sivaraajh mengenai keempat-empat penjawat awam itu betul, apa yang akan mereka lakukan seterusnya? Bolehkah mereka membawa lebih ramai orang India ke jabatan masing-masing?" soal Sivanesan.

Katanya, peminggiran masyarakat India hanya akan dapat dihentikan jika BN dijatuhkan dan Pakatan Harapan (HARAPAN) berkuasa.

Lihat Komen