malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tuduhan ucapan Anifah berbaur perkauman jelas tersasar - Raime
Diterbitkan:  Feb 23, 2018 5:41 PM
Dikemaskini: 9:50 AM
ADS

Tuduhan Parti Warisan Sabah (WARISAN) terhadap satu ucapan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang dikatakan berbaur perkauman ternyata tersasar daripada kebenaran, kata Anggota Parlimen Tenom Datuk Raime Unggi.

Beliau berkata dalam ucapan yang dibuat pada satu majlis bersama komuniti Cina kawasan Parlimen Kimanis pada 9 Feb lalu, Anifah ternyata tidak menyebut sepatah perkataan bersifat perkauman.

“Malah, Datuk Seri Anifah ada berkata “tidak kira apa sekali kaum yang akan dipilih untuk memerintah Sabah, yang penting dia adalah Sabah tulen”.

“Saya tidak lihat apa-apa elemen perkauman dalam istilah Sabah tulen. Yang jelas boleh difahami, konteks istilah Sabah tulen yang dimaksudkannya jelas merujuk kepada warganegara yang sah dan mereka yang asal usulnya dari Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raime berkata laporan polis dibuat Setiausaha Agung WARISAN Loretta Padua Jr pada 14 Feb lepas dikhuatiri mempunyai niat yang lain kerana pada masa sama, sesetengah pihak telah menularkan video ucapan yang didakwanya telah disunting seolah-olah Anifah merujuk kepada Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai ‘orang luar’ dalam ucapannya.

“Saya harap rakyat di Sabah menolak sekeras-kerasnya budaya politik yang kurang sihat ini. Politik sepatutnya membawa penyatuan rakyat untuk kemajuan dan bukan memecah-belahkan rakyat dan membinasa masyarakat,” katanya.

Di majlis itu, Anifah berkata rakyat di Sabah perlu mempertahankan negeri ini dengan memastikan kerajaan negeri hanya dipimpin oleh penduduk Sabah asli, tanpa mengira latar belakang kaumnya.

Sementara itu, Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Datuk Seri Lajim Ukin yang turut kesal dengan perkara itu menegur presiden dan kepimpinan WARISAN yang didakwanya jelas bermotif mengancam perpaduan kaum sehingga menghina keturunan pemimpin-pemimpin parti politik dan mengajak pengikut mereka menyemarakkan lagi api perkauman.

“Saya juga amat percaya siapa sahaja dari Sabah, yang terdiri daripada berbilang kaum, layak dilantik sebagai ketua menteri Sabah asalkan orang itu 'Orang Sabah Tulen',” katanya.

Lajim juga menegaskan kenyataan rasis atau menghina keturunan merupakan perkembangan yang tidak sihat dalam politik lebih-lebih lagi di negara yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee yang juga anggota Parlimen Beluran turut kesal dengan tindakan memutarbelit ucapan Anifah itu.

“Apa yang ditimbulkan oleh Datuk Seri Anifah itu tidak harus dilihat daripada pandangan yang sempit, tetapi sebagai satu ingatan secara umum. Tiada pihak harus merasa terkilan jika mereka bukan tergolong dalam kategori pemimpin yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Anifah itu,” katanya.

Kiandee berkata Barisan Nasional (BN) Sabah sebenarnya langsung tidak tergugat dengan pembangkang sehingga mahu melakukan tindakan bersifat ‘desperado’ untuk bermain dengan sentimen perkauman.

Di peringkat persekutuan pula, BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menghindar budaya politik “communal” dan menerapkan toleransi dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama melalui slogan 1Malaysia, katanya.

“Ceramah politik provokasi kaum serta mengunakan bahasa kurang sopan tidak harus diterima dan sepatutnya ditolak oleh masyarakat Sabah,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen