malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Keluarga Vasanthapiriya mahu lihat rakaman CCTV
Diterbitkan:  Feb 23, 2018 5:27 PM
Dikemaskini: 9:32 AM
ADS

Keluarga mendiang M Vansanthapiriya yang meninggal dunia kerana membunuh diri selepas dituduh mencuri telefon bimbit gurunya, berharap kebenaran dapat didedahkan dalam proses inkues yang dijalankan polis.

Bapa Vasanthapiriya, R Muniandy berkata, pihak keluarganya juga mahu meneliti rakaman litar tertutup (CCTV) yang dikatakan memuatkan kejadian kecurian berkenaan.

"Sesetengah media, baru-baru ini melaporkan rakaman CCTV itu dikatakan menunjukkan Vasanthapiriya mencuri telefon bimbit terbabit.

"Ia tidak benar. Anak saya tidak akan berbuat demikian. Kami mahu lihat sendiri rakaman CCTV itu," katanya seperti dilapor Berita Harian.

R Muniandy, berkata keluarganya hanya akan menerima hakikat mengenai kematian remaja itu selepas kebenaran mengenai kes terbabit diperoleh.

"Justeru, kami bersyukur apabila Peguam Negara memberi kebenaran kepada polis untuk menjalankan prosedur inkues ke atas kes kematian anak saya. Akhirnya, kami bakal tahu punca kes ini.

"Kami sangat berharap kes ini dapat diadili sebaiknya, sekali gus mengenal pasti punca mengapa anak kami membunuh diri sedangkan telefon bimbit gurunya yang hilang itu gagal dijumpai bersama mendiang," katanya ketika dihubungi.

Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan, memaklumkan pihaknya sudah menerima kebenaran daripada Peguam Negara untuk menjalankan prosedur inkues ke atas kematian mendiang.

Beliau dilapor berkata, pihaknya masih menunggu tarikh sesuai untuk menjalankan proses berkenaan dengan 30 saksi akan dipanggil.

Dalam kejadian 24 Januari lalu, Vasanthapiriya, dipercayai cuba membunuh diri dengan menggantung diri menggunakan kain sari di biliknya akibat tertekan selepas dituduh mencuri telefon bimbit seorang guru sekolahnya.

Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada jam 3.30 pagi, 1 Februari lalu.

Sementara itu, Presiden Malaysian Tamilar Kural, David Marshel, menggesa Jabatan Pendidikan Pulau Pinang (JPNPP) mendedahkan tindakan yang diambil ke atas guru terbabit, kepada umum.

"Saya percaya JPNPP mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk menangani situasi ini secara dalaman. Justeru, kenapa perlu tunggu pihak polis?

"Kami mahu tahu tindakan dalaman yang diambil jabatan berkenaan ke atas guru terbabit, selain perlu mendedahkan sebarang kesalahan yang mungkin dilakukan guru berkenaan dalam kes ini," katanya.

Lihat Komen