malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kajian: Bebanan buku dibawa murid sekolah rendah memang berat
Diterbitkan:  Feb 23, 2018 3:44 PM
Dikemaskini: 8:21 AM
ADS

Laporan akhir Kajian Penilaian Beg Berat Murid Sekolah, yang antara lain memperakui beg yang dibawa murid adalah berat, telah dibentangkan kepada Kementerian Pendidikan pada Rabu lepas, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan.

Beliau berkata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid telah diberikan penerangan secara spesifik mengenai dapatan kajian tersebut oleh Bahagian Buku Teks yang bertanggungjawab menyediakan laporan itu pada mesyuarat pasca kabinet baru-baru ini.

Menurutnya, hasil kajian bebanan buku yang dibawa oleh murid Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mendapati ada kebenaran beg murid adalah berat.

"Kajian juga mencadangkan bagaimana sekolah perlu mengikuti standard antarabangsa yang menetapkan tahap tertentu beban beg yang sepatutnya bagi seorang murid seperti berdasarkan umur dan berat badan murid tersebut," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Karnival Sukan Antara Universiti di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang hari ini.

Kamalanathan berkata cadangan lain adalah murid hanya perlu membawa buku mengikut jadual pembelajaran harian, manakala buku latihan atau bahan pembelajaran lain tidak perlu dibawa setiap hari ke sekolah.

Beliau berkata beberapa cadangan yang dikemukakan itu boleh dilaksanakan segera tetapi kementerian tetap tegas dengan pernyataan bahawa beg sekolah bagi murid tahun satu, dua dan tiga seharusnya ringan.

"Semua guru besar telah dimaklumkan bahawa murid sekolah rendah hanya perlu membawa buku-buku mengikut jadual harian dan guru-guru diingatkan supaya membantu murid-murid meringankan beban beg yang dibawa ke sekolah," katanya.

Isu beg berat mendapat perhatian khusus Mahdzir yang mengarahkan satu kajian segera dilakukan kementerian bagi membolehkan masalah yang menjadi rungutan ibu bapa itu ditangani dengan lebih berkesan.

- Bernama

Lihat Komen