malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Momokan anti-DAP sukarkan HARAPAN pikat Melayu
Diterbitkan:  Feb 23, 2018 2:52 PM
Dikemaskini: 7:43 AM
ADS

Pakatan Harapan (HARAPAN) akan menghadapi halangan besar dalam memenangi sokongan orang Melayu di bandar, kata ahli akademik terkemuka Wan Saiful Wan Jan.

Wan Saiful berkata pengundi Melayu bimbang kemenangan HARAPAN dalam pilihan raya boleh menjejaskan hak keistimewaan mereka.

"Mereka melihat DAP sebagai parti Cina yang akan membuang status keistimewaan yang dinikmati oleh orang Melayu di negara ini. DAP telah berulang kali menafikan tuduhan ini tapi kepercayaan itu masih kekal.

"Dengan DAP menjadi parti terkuat dalam HARAPAN hari ini dari segi bilangan anggota parlimen, persepsi ini dapat difahami, walaupun DAP sendiri tidak pernah secara rasmi memfokuskan idea itu," katanya dalam satu artikel diterbitkan Straits Times Singapura, sehari selepas spekulasi beliau akan menyertai Parti Pribumi Bersatu (BERSATU).

Wan Saiful, yang semalam meninggalkan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) yang diasaskannya berkata, berdasarkan pemerhatian dalam kalangan pengundi Melayu bandar, politik identiti masih menjadi faktor utama mempengaruhi mereka.

Kebimbangan kaum

"Walaupun mereka sangat bimbang mengenai ekonomi dan ada yang merindui pemerintahan yang lebih baik, mereka terus asyik kepada politik identiti.

"Bagi sebahagian besar mereka, walaupun keadaan menekan, politik identiti mengatasi kebimbangan lain yang mungkin mereka ada.

"Tahap pendidikan dan status sosial yang lebih tinggi tidak menjamin mereka beralih daripada politik berasas agama bagi menumpukan perhatian kepada perkara dasar," katanya.

Berdasarkan senario ini, Wan Saiful berkata bagi terus mendapatkan sokongan apa yang dilakukan Umno dan BN adalah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi terhadap isu kaum.

"HARAPAN setakat ini menolak untuk mengeksploitasi sentimen etnik untuk keuntungan politik jangka pendek dan lebih memilih untuk memperjuangkan agenda berdasarkan pentadbiran yang baik.

"Tetapi pendekatan berprinsip ini menimbulkan masalah bagi mereka kerana Umno dan BN tidak ada masalah mengeksploitasi dan menyebarkan proganda kebimbangan kaum," katanya.

Kawasan majoriti Cina

Pada bahagian awal artikelnya, Wan Saiful berkata secara umum peratus pengundi bukan Melayu agak tinggi di kawasan bandar dan di beberapa kerusi, kaum Cina membentuk majoriti pengundi.

"Campuran demografik ini menimbulkan beberapa soalan: Adakah pembangkang memenangi kerusi bandar kerana saiz pengundi bukan Melayu yang besar, atau adakah orang Melayu mengundi mereka juga?

"Adakah perasaan anti wakil rakyat kerajaan di Malaysia dikongsi oleh semua kumpulan etnik atau adakah ia hanya satu lagi pembahagian etnik?

"Hasrat pengundi Melayu bandar adalah penting kerana dalam pertandingan yang sengit, setiap undi diambil kira, begitu juga dalam pilihan raya ini, yang merebut kesetiaan pengundi Melayu dalam beberapa parti," katanya.

Berikutan itu Wan Saiful menjalankan siri temu bual dan perbincangan kumpulan dengan memfokuskan pengundi Melayu bandar, khususnya di kedua-dua negeri yang disasarkan oleh HARAPAN - Kedah dan Johor.

Wan Saiful berkata hasilnya boleh diringkaskan kepada empat perkara, termasuk persepsi terhadap DAP.

Tak suka kritik Umno, BN

Perkara pertama, katanya, orang Melayu bandar tidak suka mengkritik Umno dan BN secara terbuka.

"Pada permulaan hampir semua wawancara, mereka sama ada mengelak untuk mengulas mengenai kerajaan atau hanya membuat komen positif. Tetapi sebaik sahaja berasa selesa dengan perbincangan, mereka lebih terbuka.

"Pada peringkat itu adalah jelas tidak semua berpuas hati dengan situasi di Malaysia hari ini dan hasrat mengundi mereka masih belum selesai.

"Ini adalah satu penemuan penting kerana ia menjelaskan mengapa hampir semua pilihan raya di Malaysia hari ini menunjukkan bahawa Umno dan BN akan menang dengan mudah," katanya menambah dalam tinjauan pendapat itu responden perlu menjawab dengan cepat.

Kedua, katanya, Melayu di bandar hidup dalam kenaikan kos sara hidup, sementara rasuah dan tadbir urus yang baik menjadi perkara kedua dalam senarai kebimbangan mereka.

"Isu tadbir urus lebih kerap disuarakan oleh pengundi yang memiliki kewangan yang baik. Selebihnya adalah kumpulan yang mementingkan  isu kos sara hidup, seperti kos barangan harian yang semakin meningkat dan turun naik harga petrol.

"Ramai di antara mereka menghubungkan kenaikan kos sara hidup dengan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan pada tahun 2015," katanya.

Diabaikan kerajaan Umno BN

Ketiga, dedah Wan Saiful, pengundi Melayu bandar berasa walaupun menjadi etnik Melayu yang sepatutnya mempunyai hak keistimewaan, mereka diabaikan oleh kerajaan yang dipimpin Umno.

"Pengenalan Model Ekonomi Baru oleh Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Razak pada tahun 2010 telah memberi perhatian berpendapatan rendah dalam masyarakat, atau kumpulan B40.

"Banyak orang Melayu berpendapatan pertengahan (M40). Mereka tidak cukup kaya untuk membayar barangan seperti 20 peratus lagi, "katanya.

Lihat Komen