malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Indeks persepsi rasuah SPRM ibarat pelajar periksa jawapan sendiri'
ADS

ULASAN l Seorang pelajar yang degil gagal dalam peperiksaan bertaraf antarabangsa tahun ini dengan keputusan yang paling teruk sepanjang tempoh lima tahun lalu. Bukan sahaja dia menolak keputusan itu kerana katanya dia telah belajar dengan gigih, dia turut memecat lembaga peperiksaan antarabangsa itu dan menggantikannya dengan lembaganya sendiri.

Pada peperiksaan tahun hadapan, dan tahun-tahun seterusnya, dia akan menduduki peperiksaan dan memeriksa kertas jawapannya sendiri. Justeru menjamin keputusan cemerlang dan berada di puncak ranking dunia.

Ilustrasi di atas menggambarkan bagaimana mereka yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas agensi anti-rasuah negara telah bertindakbalas terhadap indeks persepsi rasuah (CPI) Transparency International terkini yang meletakkan Malaysia setaraf Cuba dari aspek rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad khabarnya terperanjat dengan indeks CPI itu kerana katanya indeks itu tidak berpijak di bumi nyata.

Adakah beliau mengandaikan indeks CPI ini sesuatu yang ‘palsu’?

Berikutan keputsan CPI yang begitu memalukan negara, Dzulkifli pun mengemukakan sebuah rancangan penyelesaian yang terbaik bagi memperbaiki tahap rasuah dalam negara.

Beliau mengumumkan bahawa SPRM sendiri akan merangka indeksnya sendiri dalam masa dua tiga bulan lagi. Mungkin negara Cuba sahaja yang akan menerima indeks rasuah bikinan SPRM ini.

Menteri yang bertanggungjawab ke atas isu rasuah ialah Datuk Paul Low namun beliau tidak diiktiraf oleh Dzulkifli, yang kebetulan adalah bekas presiden Transparency International Malaysia, menyifatkan prestasi CPI yang paling teruk ini adalah berikutan tindakan penguatkuasaan yang agresif di pihak SPRM sepanjang tahun lalu.

Kenyataan Low seolah-olah memberi gambaran bahawa murid sekolah yang rajin berusaha pastinya akan gagal dalam peperiksaan.

Jika Low benar, mungkin SPRM sepatutnya menghindarkan diri daripada tangkapan berprofil tinggi pada masa akan datang bagi mencapai kedudukan yang lebih baik dalam indeks CPI tahun depan.

Sebaik-baiknya, Low patut meletakkan jawatan sebagai menteri kabinet dan juga senator yang dilantik kerana beliau telah mempersembahkan prestasi CPI paling buruk buat negara dalam tempoh lima tahun lalu sejak beliau dilantik ke ‘jabatan integriti’ Perdana Menteri di Putrajaya lima tahun lalu.


LIM LIP ENG adalah ahli parlimen Segambut mewakili parti DAP.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen