malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Aksi 'zig-zag': 2 penuntut diperintah jalani 240 jam khidmat masyarakat
Diterbitkan:  Feb 23, 2018 2:57 PM
Dikemaskini: 7:07 AM
ADS

Dua penuntut sebuah institut kemahiran awam masing-masing diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 240 jam oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini kerana menunggang motosikal secara melulu dengan melakukan aksi 'zig zag' dalam kelajuan tinggi di celah-celah kenderaan.

Majistret Maizatul Munirah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Fahmin Ulumuddin Hamzah, 19, dan Abdullah Mu'az Ismail, 19, selepas mereka mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di Jalan Raja Laut di sini pada 10.14 malam, 20 Jan lepas.

Kedua-dua tertuduh itu yang merupakan penuntut semester dua jurusan penyaman udara juga diperintah membayar cagaran RM1,500 dan perlu menyelesaikan khidmat masyarakat selama dua tahun selain lesen memandu dibatalkan dan hilang kelayakan menunggang selama tiga tahun.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya tidak dikenakan hukuman penjara kerana masih belajar manakala Pegawai Pendakwa, Inspektor Abdullah B Khazali memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada mereka.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua remaja itu ditahan selepas pihak polis yang melakukan 'Op Motosikal' di Jalan Raja Laut ternampak mereka menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya sambil melakukan aksi 'zig-zag' di celah-celah kenderaan.

- Bernama
 

Lihat Komen