malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis  Argentina temui 400kg kokain di kedutaan Rusia
Diterbitkan:  Feb 23, 2018 2:51 PM
Dikemaskini: 6:56 AM
ADS

GLOBAL Polis telah merampas hampir 400 kilogram kokain dari kedutaan Rusia di Buenos Aires dan memberkas lima anggota kumpulan pengedar dadah, kata Menteri Keselamatan Argentina Patricia Bullrich.

Bullrich memaklumkan sidang akhbar bahawa dadah itu ditemui di ruang tambahan kedutaan berkenaan yang bernilai kira-kira 50 juta euro (kira-kira US$62 juta) di pasar gelap.

"Sekumpulan penjenayah narkotik cuba menggunakan perkhidmatan kurier diplomatik kedutaan Rusia untuk menyeludup dadah ke Eropah," katanya.

Beliau memberitahu pemberita bahawa polis Rusia dan Argentina telah memutuskan untuk melancarkan satu operasi penyamaran selepas duta Rusia memaklumkan mereka mengenai penemuan dadah itu pada Disember 2016.

"Kokain tersebut telah diganti dengan tepung manakala peralatan pemantauan telah dipasang bagi memantau penghantaran 16 beg berisi dadah," kata Bullrich.

Beliau berkata operasi penyamaran itu telah membawa kepada penahanan lima suspek -- dua di Argentina dan tiga di Rusia.

Dadah itu, yang "amat berkualiti," telah dikhaskan untuk pengedaran di Rusia dan mungkin juga Jerman, di mana orang yang disyaki menjadi dalang tinggal.

"Kami percaya polis Jerman akan menahan orang buruan ini," kata Bullrich.

Menteri itu berkata ejen perkhidmatan keselamatan Rusia "telah datang ke Argentina sebanyak tiga kali untuk membantu siasatan," yang mengambil masa lebih setahun.

Seorang daripada dua suspek yang diberkas di Argentina berasal dari Rusia dan merupakan anggota polis di Buenos Aires, kata Bullrich.

Penyiasat percaya kokain itu mungkin berasal dari Colombia atau Peru.

-- BERNAMA-NNN-AGENCIES

Lihat Komen