malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib beri senario jika pembangkang menang
ADS

ULASAN l Baru-baru ini setelah perbalahan sengit saban tahun merebut kuasa, pembangkang akhirnya meletakkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datin Seri Wan Azizah Ismail sebagai calon perdana menteri dan timbalan mereka.

Walau bagaimanapun, pencalonan pihak pembangkang kali ini sebenarnya menunjukkan betapa rapuhnya kepimpinan tertinggi mereka sekiranya dibiarkan memerintah.

Hal ini kerana calon perdana menteri mereka iaitu Dr Mahathir dikatakan hanya sementara sahaja, kerana jawatan tersebut akan diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah beliau dibebaskan.

Terdapat dua senario yang boleh berlaku. Pertama, Dr Mahathir tidak akan melepaskan jawatannya kepada Anwar kerana umum mengerti beliau menganggap semua pemimpin lain tak betul.

Memetik kata-kata Dr Mahathir pada tahun 2016, tidak mungkin beliau akan membenarkan seorang yang bermasalah moral menjadi perdana menteri.

Malah Dr Mahathir juga pernah mengatakan yang Anwar sudah terlalu tua untuk memimpin negara dan pastinya PKR akan memberontak sekiranya beliau memilih untuk membolot kuasa.

Senario kedua, kalaulah Dr Mahathir memilih untuk u-turn dan melepaskan jawatan beliau kepada Anwar sekalipun, akibatnya jawatan perdana menteri dan timbalannya, akan disandang oleh sepasang suami isteri. Inilah nepotisme tahap paling kritikal yang diamalkan mereka.

Dan sudah tentu rakyat akan memberontak struktur kepimpinan seolah-olah mereka merajai Malaysia.

Di sini kita dapat ramalkan bahawa jika pembangkang menang pilihan raya kelak, mereka akan kekal sibuk merebut jawatan perdana menteri selama dua ke tiga tahun sebelum mereka dapat memulakan kerja untuk berkhidmat kepada rakyat.

Namun jika rakyat memberi mandat kepada BN, kami dapat memulakan khidmat bakti untuk rakyat serta-merta selepas pilihan raya kerana kita mempunyai barisan kepimpinan yang kukuh lagi mampan.


DATUK SERI NAJIB RAZAK adalah perdana menteri Malaysia.

Artikel ini pertama kali dimuat-naikkan di blognya www.najibrazak.com dengan tajuk ‘Kepimpinan Pakatan Pembangkang Bakal Pincangkan Negara’.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen