malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Kita pakai khemah molek lagi jika ambil RM90 juta Najib’
Diterbitkan:  Feb 23, 2018 1:09 PM
Dikemaskini: 5:13 AM
ADS

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi menafikan bahawa parti itu menerima dana RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang penduduk semasa dialog jamuan sempena tahun baru Cina 2018 di Kuala Terengganu, semalam.

"Jika kita (PAS) ambil duit RM90 juta, kita tak pakai khemah ini. Kita pakai khemah molek lagi,” katanya yang dipetik oleh Harakahdaily.

Abdul Hadi turut mendedahkan bahawa pihaknya telah memfailkan saman fitnah di London terhadap editor Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown mengenai perkara itu.

"Orang (yang buat tuduhan) itu duduk di England bukan duduk di sini (Malaysia). Orang sini yang ajar dia, orang sini yang upah dia. Jadi, kita (PAS) saman di mahkamah (di) England,” katanya.

Sambil mendakwa terdapat tanda-tanda bahawa penghakiman bakal memihak kepada PAS, Abdul Hadi juga mendakwa sesetengah pihak cuba memujuk PAS supaya menggugurkan saman berkenaan.

“Ada tanda-tanda yang kita (PAS) akan menang dan tuduhan itu pelawok (bohong).

"Dan (ada pihak) dia pujuk kita (PAS) tarik (saman) dan kita akan lawan saman itu sampai habis, InsyaAllah," katanya di hadapan hampir 500 hadirin.

Oktober lalu, Rewcastle-Brown yang berpangkalan di London mengheret bekas presiden Majlis Peguam Datuk S Ambiga dalam kemelut itu.

Berdasarkan dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini, Ambiga didakwa memberitahu Rewcastle-Brown tentang hubungan Najib dengan PAS, termasuk dakwaan persetujuan kewangan antara kedua-dua pihak dan motif di sebaliknya.

"Ambiga memberitahu defendan yang sumbernya, yang menurutnya boleh dipercayai, menjangkakan jumlah yang telah dibayar adalah sekitar RM90 juta," kata Rewcastle-Brown, menurut dokumen mahkamah bertarikh 11 Oktober itu.

Sementara itu, Abdul Hadi juga semasa dialog itu disoal sama ada PAS mahu bekerjasama dengan Umno.

Bagaimanapun, presiden PAS itu menegaskan bahawa partinya akan tetap melawan Umno pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini.

"Kita dah sebut kita nak lawan Umno pada pilihan raya ini. Kita (PAS) tanding 130 kerusi dan sudah tentulah kerusi yang PAS lawan itu ialah (kerusi) Umno.

"DAP tak lawan Umno, DAP lawan MCA. PKR lawan semua, kita (PAS) lawan Umno untuk pilihan raya ini. Di Terengganu, kita (PAS) akan tanding 32 kerusi DUN dan lapan Parlimen semua," katanya.

Menurut laporan Harakahdaily, masyarakat Cina di negara ini dimomokkan dengan beberapa isu fitnah dan pembohongan terhadap PAS bagi menghakis kepercayaan rakyat terhadap parti itu di bawah kepimpinan Abdul Hadi.

Lihat Komen