malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
86 polis Perak terlibat jenayah, salah laku tahun lepas
ADS

Seramai 86 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak terbabit dalam pelbagai jenis jenayah dan salah laku sepanjang tahun lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata lima daripada jumlah itu disiasat berkaitan kesalahan memiliki dadah manakala 26 orang didapati positif dadah.

Beliau berkata selain itu, 33 orang disiasat berkaitan kesalahan jenayah, tujuh orang berkaitan kesalahan syariah dan 15 orang terbabit rasuah.

"Walaupun bilangan ini hanya satu peratus daripada populasi PDRM Perak, namun ia tidak boleh dipandang ringan.

"Ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua polis daerah perlu memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dengan mengambil tindakan awal terhadap sebarang salah laku melibatkan pegawai kanan dan pegawai pangkat rendah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak Bagi Bulan Februari serta Majlis Pemakaian Pangkat di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di sini hari ini, melibatkan 105 anggota dinaikkan pangkat ke Sub Inspektor, Sarjan Mejar dan Sarjan.

Sementara itu, Hasnan turut mengingatkan pegawai dan anggotanya supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti gangsterisme yang membawa kepada penyelewengan tingkah laku dan kerosakan akhlak.

Katanya, semua Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah perlu mengambil tindakan segera terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang didapati terlibat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Ini bukan sahaja mencemarkan nama baik pasukan, malah penglibatan dalam kegiatan ini juga boleh memusnahkan masa depan diri sendiri dan keluarga," katanya.

Hasnan berkata kegiatan gangsterisme turut perlu dihapuskan di setiap daerah bagi memastikan aktiviti jenayah seperti judi dan kegiatan haram lain dilakukan kumpulan tersebut lumpuh. -Bernama

​​​​​​​

Lihat Komen