Anggota parlimen pembangkang mendakwa Datuk Seri Najib Razak tidak tahu penderitaan rakyat, jika dilihat berdasarkan amalan pemakanan perdana menteri.
Kritikan itu dibuat susulan pendedahan anggota parlimen Pekan itu tidak makan nasi seperti orang lain, sebaliknya quinoa, sejenis bijirin daripada Amerika Selatan, yang mahal.
Menurut anggota parlimen Segambut Lim Lip Eng (bawah), harga quinoa jauh lebih tinggi berbanding nasi yang menjadi makanan ruji rakyat Malaysia.
Semakan atas talian mendapati pasar raya besar Tesco menjualnya dengan harga RM14.79 untuk paket 250 gram bagi produk Love Earth Organic Quinoa.
Ini bermaksud ia akan menelan belanja RM591.60 untuk 10kg.
Bagaimanapun, bekas 10kg seperti Jasmine Super Special (5 peratus beras hancur) hanya menelan belanja RM25.85.
Justeru, kata Lim, atas dasar ini saja, orang ramai tidak patut mengundi Najib dalam pilihan raya umum akan datang.
“Pemimpin nasional sebegini tidak tahu masalah rakyat yang berdepan kesukaran ekonomi.
“Jika rakyat biasa boleh tukar nasi dengan quinoa, sudah tentu pendapatan rakyat Malaysia lebih tinggi berbanding negara-negara berpendapatan tinggi. Tetapi bukan itu yang terjadi,” katanya.
Tanaman Inca
Bercakap dalam sesi perkongsian Bajet 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi padi tadi, Najib berkata beliau mengawal diet sebagai ganti senaman untuk kekal sihat.
“(Saya) tidak (selalu senaman)... Saya suka makan. Masalah saya saya suka makanan, macam kebanyakan rakyat Malaysia.
“Kita suka makanan. Saya terpaksa kawal. Sebagai contoh, saya tidak makan nasi, saya makan quinoa. Anak saya yang perkenalkan saya dengan quinoa,” tambahnya.
Peserta kemudian bertanya Najib apakah quinoa itu.
Najib menjelaskan ia adalah makanan ruji masyarakat Inca, yang lebih sihat berbanding nasi.
“Ia datang dari Peru, orang Inca telah tanamnya 3,000 tahun lalu. Ia berasaskan protien, kurang karbohidrat dan kurang gula.
“Jadi ia lebih sihat berbanding nasi,” katanya.