malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kelantan tak tahu punca sebenar bantahan Orang Asli
ADS

Kerajaan Kelantan belum mengetahui apa isu sebenar yang menyebabkan segelintir masyarakat Orang Asli di beberapa lokasi pembalakan di Gua Musang membuat bantahan terbaru.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata pihaknya sedang menunggu laporan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) sebelum mengulas mengenai kemelut yang dibangkitkan.

"Saya tak dapat nak komen lanjut sebab tak tahu apa isu sebenarnya. Kita sedang tunggu laporan," katanya ketika ditemui di mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu, hari ini.

Kata Mohd Amar beliau dimaklumkan oleh pengarah JPKN, mereka sedang menyiapkan laporan berkenaan.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan tiga sekatan baru dibina oleh masyarakat Orang Asli di kawasan Hutan Simpan Gunung Stong Selatan sejak Khamis lalu.

Langkah itu dibuat sebagai bantan terhadap penerokaan hutan serta tanah adat bagi tujuan pembalakan dan projek perladangan durian Musang King.

Sekatan oleh aktivis Orang Asli tempatan itu dibina di Chawas, Gua Cha dan Pos Gob di kawasan hutan simpan tersebut.

Susulan sekatan itu Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mencadangan agar kerajaan negeri dan anggota parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah duduk berbincang bersama masyarakat tersebut.


Baca Ibrahim Ali saran Kelantan bina hutan Disneyland


Pertemuan itu disarankan supaya ada jalan penyelesaian secara baik dicapai kerana masalah seumpama itu sudah berlanjutan.

Mohd Amar berkata, sebaik menerima laporan tersebut kerajaan negeri akan menelitinya sebelum memutuskan tindakan lanjut yang sesuai.

"Wakil kerajaan negeri adalah JPNK, mereka sedang siapkan laporan, mungkin (siap) dalam minggu ini.

"Melalui laporan itu baru kita boleh follow up (buat tindakan susulan)," katanya.

Mohd Amar yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Pancor berkata melalui laporan JPNK kerajaan Kelantan akan dapat memastikan sama ada maklumat dipaparkan media tepat atau tidak.

Sementara itu, ditanya mengenai projek ladang durian Musang King yang didakwa akan dilaksanakan di kawasan terbabit, Mohd Amar sekali lagi mendakwa tidak pasti mengenainya.

"Saya tak pasti, sebab itu saya tak mahu komen.

"Kita tahu kawasan spesifik (yang dibangkitkan)," ujarnya yang juga exco pembangunan wilayah, tanah, pelaburan dan sumber asli negeri Kelantan.

Lihat Komen