TIADA SYARIKAT DILANTIK DEMI KEPENTINGAN POLITIK KHAIRY
KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) --
Setiausaha politik kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Megat Firdouz Megat Junid hari ini menafikan bahawa beberapa syarikat telah dilantik untuk melaksanakan program di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) demi kepentingan politik Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Megat Firdouz, 48, turut menyangkal dakwaan bahawa syarikat-syarikat tersebut dilantik untuk menggunakan peruntukan yang disalurkan KBS bagi tujuan politik menteri berkenaan.
Saksi pendakwaan ke-47 itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, mewakili Otman Arshad, 59, dalam perbicaraan Otman yang didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan RM38.4 juta, enam tahun lepas.
Megat Firdouz juga tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Rafique bahawa program yang dilaksanakan di KBS dikendalikan pembekal yang mempunyai kaitan secara langsung dengan Khairy, yang juga anggota Parlimen Rembau, Negeri Sembilan.
Muhammad Rafique: Saya cadangkan bahawa kebanyakan pembekal yang ingin berjumpa dengan kamu untuk mendapatkan kerja berkaitan program terdiri daripada anggota Umno pelbagai peringkat dan ada yang mengenali YB Khairy?
Megat Firdouz: Tidak setuju.
Muhammad Rafique: Saya juga cadangkan kepada kamu bahawa seorang daripada pembekal itu ialah Halmi Khalid, yang merupakan pemilik beberapa syarikat dan juga anggota Umno?
Megat Firdouz: Tidak setuju.
Saksi itu berkata beliau juga tidak mempunyai pengetahuan dan tidak pernah memberi arahan kepada Otman untuk memberi taklimat mengenai perolehan dan tender di kementerian itu yang diadakan di Plaza Damas 3, pada 2014.
Ketika pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal@Zainol mengenai cadangan Muhammad Rafique bahawa terdapat pelbagai permohonan dikemukakan oleh pihak pembekal sejak Khairy memegang jawatan menteri kementerian itu, Megat Firdouz berkata pembekal tersebut tidak pernah datang berjumpa dengannya.
“Saya selaku Setiausaha Politik kepada YB Khairy tidak pernah menduduki dalam mana-mana jawatankuasa, sama ada pembekalan atau tender yang berkaitan dengan kewangan untuk membolehkan mereka (pembekal) membekalkan apa-apa sahaja dalam program kementerian.”
Pada 21 April 2016, Otman didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram menerusi akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad melalui cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Dis 2015.
Selain Otman, pengarah syarikat pembekal barangan sukan bawah KBS, Abdul Gafar Abdurahiman, 44, dan isterinya Siti Rohanah Hussien, 44, suri rumah, masing- masing berdepan 63 pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM15,723,000 yang merupakan hasil aktiviti haram menerusi 63 transaksi daripada akaun bank tiga syarikat milik mereka ke akaun bank milik Otman bagi tempoh masa sama.
Kesemua mereka dituduh melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya, Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja Laut.
Otman, Abdul Gafar dan Siti Rohanah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.
Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang membawa hukuman penjara hingga 15 tahun atau boleh juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung pada 19 Mac.
- Bernama

