malaysiakini logo
story-image
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan melakukan serbuan ke atas pejabat Menteri Besar Selangor dan pejabat kerajaan dalam siasatan kes tanah di Ijok, Kuala Selangor.

Sebaliknya, kata ketua pesuruhjayanya Tan Sri Dzulkifli Ahmad, lima syarikat termasuk sebuah firma guaman diserbu semalam.

“Saya nak menegaskan di sini dan saya pun tidak tahu mana sumber berita ini dikeluarkan, sebenarnya tidak ada serbuan pun dibuat di pejabat menteri besar dan pejabat kerajaan.

“Yang ada ialah semalam SPRM berdasarkan maklumat baru yang kita terima, pihak SPRM telah pergi ke lima syarikat termasuk satu firma guaman dan telah menyita dokumen-dokumen yang perlu bagi membantu siasatan. Itu saja,” katanya.

Menyifatkan dakwaan serbuan ke pejabat menteri besar itu berita palsu, Dzulkifli juga mendedahkan terdapat dokumen dirampas mereka.

Bercakap dalam sidang media di Akademi SPRM Kuala Lumpur, hari ini, beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama syarikat-syarikat itu atau lokasi pejabatnya.

Ditanya motif serbuan, Dzulkifli enggan mengulas lanjut dan berlalu pergi meninggalkan pihak media.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali pada 15 Februari lalu berkata kerajaan negeri telah menyerahkan semua dokumen berkaitan isu tanah Ijok kepada SPRM.

Ini berikutan laporan kepada SPRM beberapa NGO yang meminta siasatan dilakukan terhadap isu itu.

BN tidak puas hati dengan tindakan kerajaan negeri menyerahkan tanah bernilai RM1.18 bilion di mukim Ijok kepada dua syarikat pada 2016 yang disifatkan tergesa-gesa.

Lihat Komen