malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
BERSIH gesa hentikan pendaftaran pengundi pos
Diterbitkan:  Feb 21, 2018 8:38 PM
Dikemaskini: 12:45 PM
ADS

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar menghentikan pendaftaran pengundi pos dan menilai semula proses permohonan undi pos domestik bagi memastikan tiada penipuan dalam mekanisme itu.

Dalam kenyataan hari ini, NGO itu berkata peruntukan Bajet 2018 kepada SPR membenarkan undi pos digantikan dengan undi awal - dengan syarat ia diadakan sehari sebelum hari mengundi dan undi dikira di tempat yang sama selepas pengundian awal berakhir.

Bersih berkata pihaknya telah banyak kali mengkritik kaedah undi pos yang didakwa telah dipergunakan bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya.

"Bersih telah mendesak agar undi pos dihentikan kerana ia berpeluang untuk disalah guna, kurang jelas, kurangnya keselamatan terhadap penyimpanan peti undi, tidak memberi notis kepada calon, dan kurang penguatkuasaan bagi menjamin pengundi (sama) tidak menjadi pengundi pos dan awal serentak.

"Langkah untuk meluaskan kategori pengundi pos adalah pelanggaran terhadap prinsip hak untuk mengundi, keselamatan undi, integriti pilihan raya dan proses demokrasi," katanya.

BERSIH mengulas pengumuman Pengerusi SPR Tan Sri Mohamad Hashim Abdullah pada 19 Februari lalu bahawa 12 kategori penjawat awam boleh menjadi pengundi pos dengan syarat mendapat pengesahan majikan mereka akan bertugas pada hari mengundi.

Antaranya adalah petugas hospital dan klinik kerajaan, sukarelawan polis, Angkatan Pertahanan Awam Negara, Jabatan Imigresen dan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

BERSIH berkata pengumuman itu tidak diiringi dengan garis panduan yang jelas - seperti bukti kakitangan itu bertugas pada hari mengundi dan pihak yang dianggap sebagai "majikan".

Pengundi pos makin ramai

Sementara itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata Pakatan Harapan (HARAPAN) perlu dibenarkan memantau proses dan menjaga peti undi pos.

Beliau mendakwa terdapat peningkatan 150 peratus jumlah pengundi pos dan awal berbanding 400,000 pada pilihan raya umum (PRU) ke-13.

"Saya risau pembolotan sistem undi pos yang menjurus kepada satu pihak sahaja mampu mengakibatkan parti pemerintah sedia ada menang kerusi parlimen marginal.

"Ia pernah berlaku seperti yang dapat dilihat menerusi 30 kerusi parlimen yang dimenangi mereka dengan majoriti rendah pada PRU lalu.

"Maka mungkin sahaja parti pemerintah dapat memenangi majoriti dua pertiga Parlimen dan menguasai Dewan Rakyat hasil bantuan undi pos yang berat sebelah pada PRU ke-14," dakwanya dalam kenyataan.

Justeru anggota parlimen Lembah Pantai itu menggesa SPR mengenakan prosedur yang lebih ketat dan telus bagi proses undi pos.

"Semua bentuk undi,termasuk undi pos, akan menentukan masa depan negara selagi ia tidak dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab," katanya lagi.

Lihat Komen