malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kerajaan akan terus beri perhatian pada kaum Cina - Najib
ADS

Kerajaan akan terus memberi perhatian kepada keperluan komuniti Cina bagi memastikan masyarakat itu akan terus sejahtera selari dengan kemakmuran negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata komuniti Cina bukan sahaja memainkan peranan penting daripada segi pembangunan ekonomi dan perniagaan, malah turut berjasa dalam perjuangan negara untuk mencapai kemerdekaan.

“Saya pasti semua masih ingat akan tokoh-tokoh kemerdekaan seperti Tun Tan Cheng Lock dan Tun H.S Lee ataupun Yap Ah Loy yang telah sama membina dan membangunkan Kuala Lumpur,” katanya menerusi catatan terbaru dalam blog najibrazak.com bertajuk ‘Masyarakat Cina terus sejahtera selari dengan kemakmuran negara’, malam ini.

Daripada segi pentadbiran, Najib berkata kerajaan sentiasa memastikan polisi-polisi yang digubal bersifat inklusif dalam memastikan keperluan setiap rakyat tanpa mengira kaum dipenuhi.

“Sejak saya mengambil alih tampuk pentadbiran, cukai pendapatan individu telah banyak dikurangkan, dan ini tentunya banyak memanfaatkan golongan profesional berbangsa Cina,” katanya sambil memberi contoh kadar cukai pendapatan individu yang dikurangkan dua peratus dalam Bajet 2018.

Begitu juga pengurangan kadar cukai bagi pendapatan bercukai sehingga RM500,000 pertama, dikurangkan daripada 19 peratus kepada 18 peratus dalam Bajet 2017 bagi pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Selain itu, beliau percaya PKS di Malaysia bakal menerima manfaat dan peluang ekonomi yang besar dengan adanya Zon Bebas Cukai Digital.

Mengenai Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, satu isu yang dekat di hati komuniti Cina, perdana menteri berkata ia terus mendapat bantuan kerajaan iaitu penubuhan 10 lagi sekolah Cina yang baharu di samping peruntukan tahunan RM50 juta untuk penambahbaikan sekolah Cina.

“Seperti tahun-tahun sebelum, peniaga PKS komuniti Cina turut diberikan akses khas kepada peruntukan RM50 juta seperti yang diumumkan bawah Bajet 2018 melalui KOJADI, selain peruntukan RM30 juta untuk Yayasan Peniaga dan Penjaja Kecil 1Malaysia bagi memberi pinjaman kepada penjaja komuniti Cina,” katanya.

Nasib penduduk Kampung Baru Cina juga tidak dipinggirkan apabila kerajaan menyediakan peruntukan RM75 juta bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk dan pembangunan kemudahan seperti dewan dan taman permainan.

Dalam memastikan dasar-dasar yang digubal menepati keperluan komuniti Cina, beliau berkata kerajaan aktif mengadakan perbincangan dengan kumpulan dan persatuan seperti Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia dan Hua Zong.

Ini selaras dengan pendekatan terbuka diguna pakai oleh kerajaan Barisan Nasional tidak seperti pendekatan di sesetengah negeri yang memilih untuk meminggirkan suara-suara persatuan Cina, secara langsung menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat, katanya.

Merujuk perjumpaan bersama masyarakat Cina di Kuala Lumpur dan Langkawi pada minggu lepas, Najib berkata beliau dapat merasakan peningkatan keyakinan rakyat terhadap masa depan negara.

“Sambutan Tahun Baharu Cina yang diraikan seluruh rakyat Malaysia mengingatkan kita bahawa Malaysia sebuah negara yang unik dengan pelbagai acuan, setiap kaum atau bangsa memainkan peranan masing-masing dalam membangunkan negara ini,” katanya. -Bernama

Lihat Komen