malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Idris Ahmad tak perlu 'berlidah biawak'
Diterbitkan:  Feb 20, 2018 10:27 PM
Dikemaskini: 2:47 PM
ADS

Naib Presiden PAS Idris Ahmad diingatkan tidak memutarbelitkan isu mengenai penukaran agama satu pihak, tegas Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Wan Ji Wan Hussin.

Katanya, semasa memerintah Terengganu, PAS telah meluluskan enakmen syariah yang menyebut bahawa kanak-kanak yang belum sampai umur 18 tahun, keislaman mereka dianggap sah hanya apabila mendapat persetujuan ibu dan bapa terlebih dahulu.

Wan Ji berkata perkara itu dinyatakan dalam Seksyen 101 (b), Enakmen 2 tahun 2001, Enakmen pentadbiran Hal Ehwal agama Islam (Terengganu) Bahagian memeluk agama Islam.

"Justeru, Ustaz Idris Ahmad sebagai pemimpin PAS tidak wajar "berlidah biawak" ketika membicarakan isu Islam di Malaysia.

"PAS perlu konsisten dengan pandangan agamanya, bukan berputar belit demi kekuasaan," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Terdahulu, PAS terus membangkitkan isu mengenai Akta 164 yang didakwanya telah menyebabkan polemik dalam masyarakat khususnya dalam kes membabitkan Indira Gandhi dan bekas suaminya, Mohd Ridhuan Abdullah.

Idris berkata segalanya berpunca daripada keputusan mahkamah selepas akta itu diluluskan di Parlimen, meskipun anggota Parlimen PAS cuba menghalang dengan undi belah bahagi.

"Manakala di pihak PH (Pakatan Harapan), mereka bergembira akan keputusan ini.

"Bahkan mereka sanggup bekerjasama dengan Umno BN meluluskan akta ini dengan prejudis terhadap Islam, walaupun saban hari PAS yang difitnah mahu masuk Umno," katanya dilapor Harakahdaily ketika berucap sempena Himpunan Fastaqim PAS di Sik kelmarin.

Pada 29 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan takrif "ibu bapa" harus bersifat majmuk dalam keputusannya berhubung kes penukaran agama satu pihak membabitkan Indira Gandhi dan bekas suaminya.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan bahawa penukaran agama tiga anak oleh bapa mualaf mereka, hampir 10 tahun lalu terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Lihat Komen